Striker B-23 meningkat usia, fans Perak harap Alif Zikri lebih kerap digandingkan bersama Clayton, Wan Zack


  • Podium
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Minit permainan terhad diterima Alif Zikri dikhuatiri akan menyebabkan kebolehannya di atas padang merosot. — Facebook/Perak FC

SEJAK mengendalikan skuad The Bos Gaurus (TBG) bermula pertengahan musim 2023, Yusri Che Lah kerap memberi peluang buat pemain muda yang rata-ratanya dibawa masuk Datuk Lim Teong Kim.

Aiman Khairul Yusni, Shivan Pillay dan Azfar Fikri merupakan antara contoh terbaik dengan rata-ratanya menimba pengalaman dalam Liga Super bersama Perak FC.

Malah, lebih menarik lagi, import dibawa masuk pada jendela perpindahan pertama musim ini, Adilet Kanybekov juga merupakan pemain yang masih dalam kategori 'ubi muda' kerana baru sahaja berusia 22 tahun.

BACA LAGI: Ledak gol lawan India, penyerang muda Perak perlu diberi kepercayaan kemudi barisan hadapan TBG

BACA LAGI: Pemain muda disanjung, Hadi Fayyadh pula dilabel 'kaki tarik' oleh fans TBG

2242962

Yusri kerap memberi peluang buat pemain muda dalam skuad TBG. Facebook/Perak FC

Namun, di sebalik lambakan pemain muda dalam skuad TBG, ada juga yang sukar mendapatkan minit permainan kerana terdapat saingan hebat dalam sesebuah posisi.

Contoh paling jelas mengenai hal itu ialah penyerang, Alif Zikri yang kurang diberikan kepercayaan setakat ini dengan dia hanya mengumpul dua penampilan Liga Super musim ini.

Malah, berdasarkan statistik, pemain yang merupakan produk skuad simpanan Perak FC itu hanya sempat beraksi sebanyak 14 kali di bawah Yusri sejak dia mengambil alih tampuk kejurulatihan.

Kekurangan peluang di atas padang itu sudah tentu merencatkan perkembangannya dengan hal terbabit jelas merisaukan penyokong Perak FC yang mahu pasukan mereka dibarisi lebih ramai bakat muda.

Jadi, dalam ruangan komen hantaran ulang tahun kelahiran pemain tersebut, beberapa penyokong meluahkan hasrat tersebut dengan harapan Yusri dapat memberikannya peluang lebih kerap.

3140741

Clayton menjadi penyerang utama kepercayaan Yusri musim ini. Facebook/Perak FC

"Tahun ni Alif Zikri dah umur 23 tahun, boleh dah bagi dia lebih peluang jadi gandingan Clayton (Silva) di barisan hadapan ketika bermain dalam Liga Super.

"Tak dapat main kesebelasan utama atau masa penuh, boleh beri separuh masa untuk dia dapat minit bermain Liga Super. Kebelakangan ini, nampak Yusri guna formasi 4-4-2, Clayton dan Wan Zack Haikal berdua di hadapan. Boleh bergilir (Alif) dengan Wan Zack," kata Ina Sari.

"Kalau terlalu kerap diletakkan di bangku simpanan, hilang bakat dia nanti. Harapnya dengan usia semakin meningkat, dapatlah dia diberikan minit permainan selepas ini," kata Rahim Naim.

Berdasarkan statistik musim ini, Yusri meletakkan kepercayaan penuh kepada dua penyerang import, Clayton atau Luka Milunovic untuk beraksi sebagai penyerang utama.

Pendekatan itu membuahkan hasil memuaskan kerana dalam saingan Liga Super, skuad TBG sudah mencetak 32 jaringan dengan hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sabah FC mempunyai rekod lebih baik.

Sekiranya situasi itu berterusan, Alif Zikri perlu mencari kelab lain dengan harapan mampu menerima peluang lebih kerap, sekali gus membuktikan kebolehan sebenarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram