
PERAK FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang diraih daripada aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak pada Jumaat lalu apabila terikat 1-1.
Gol pembukaan daripada Firdaus Saiyadi tidak dimanfaatkan pasukan pelawat untuk mencari jaringan kedua perlawanan apabila mereka kemudiannya memilih untuk mengurangkan asakan.
Pendekatan tersebut jelas membawa padah kerana pada minit ke-71 perlawanan, Ramadhan Saifullah hadir menjaringkan gol penyamaan yang juga merupakan jaringan terakhir bagi aksi di Borneo tanah air.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramadhan Saifullah hero Kuching City, fans Perak kritik taktikal 'parking' bas YCL
BACA LAGI: [VIDEO] Banner 'YCL Out' terpampang di Penang, sudah tiba masa Yusri undur diri?
Firdaus menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada babak pertama perlawanan. — Facebook/Perak FC
Keputusan berkenaan menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) meneruskan rentak cemerlang apabila berkunjung ke gelanggang lawan dalam saingan Liga Super musim ini.
Berdasarkan rekod dicatatkan Zulhelmi Zainal Azam, Perak FC kini mengekalkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah di tempat lawan dengan kali terakhir mereka berputih mata adalah pada Jun tahun lalu ketika berdepan Selangor FC.
Rentetan keputusan memberangsangkan itu sekali gus membantu skuad bimbingan Yusri Che Lah tersebut menduduki tangga kelima Liga Super dengan hanya empat mata dibezakan berbanding Terengganu FC di kedudukan keempat.
Namun, di sebalik kecemerlangan ditampilkan tersebut, penyokong seperti kurang berpuas hati dengan persembahan dipamerkan kerana mereka sepatutnya berada di posisi lebih baik.
Menurut mereka, keengganan Yusri dan anak-anak buahnya untuk merebut kemenangan di tempat lawan perlu diselesaikan memandangkan setakat 19 perlawanan, Perak FC sudah mengalami lima keputusan seri.
Statistik terkini tidak menceritakan situasi sebenar skuad TBG di atas padang.
"Kalau berdepan Kuching City FC pun mendominasi 90 peratus perlawanan tetapi tidak menang tiada guna juga," kata FeIrdaus Jamil.
"Beberapa perlawanan sebelum ini, aku boleh puji Yusri kerana dah nampak perubahan dengan nampak suruh pemain banyakkan menyerang. Tetapi, perangai lama sudah kembali," kata Decepeti Zan.
"Nampak cerita seperti membanggakan. Tetapi, okaylah. Tahniah dengan satu mata yang berjaya dibawa pulang," kata Silverstates Supporters Fan Club.
Keputusan seri di Kuching City FC turut menyaksikan skuad TBG kini sudah mengatasi jumlah kutipan mata musim lalu dengan masih lima perlawanan berbaki buat kelab Utara tanah air berkenaan.
Namun, hasrat mereka untuk mencapai sasaran 40 mata ditetapkan sememangnya mustahil untuk diraih dengan perkara tersebut membuatkan ramai tertanya-tanya akan keberadaan Yusri dalam pasukan.
Skuad TBG akan berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 27 Feburari depan yang sememangnya sukar buat Perak FC mencuri mata melihat kepada pertemuan-pertemuan lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram