[VIDEO] Peminat Ajax tegur keadaan padang The Cats, puji semangat skuad TBG di Kuching


  • Podium
  • Sabtu, 08 Feb 2025

Keadaan padang di Stadium Negeri mendapat teguran oleh penyokong luar negara. — Facebook/PerakFC

TANDUKAN Ramadhan Saifullah menyelamatkan Kuching City FC untuk mendapatkan satu mata dalam aksi menentang Perak FC bagi saingan Liga Super di di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Jumaat.

Pada aksi terbabit, pelawat tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan apabila berjaya mendahului seawal minit ke-14 menerusi penyudah tonggak tengah, Firdaus Saiyadi.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Aidil Shahrin akhirnya mendapat gol penyamaan apabila Ramadhan menanduk bola masuk sekali gus menewaskan Muhammad Haziq Nadzli yang beraksi cemerlang sepanjang 71 minit perlawanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Ramadhan Saifullah hero Kuching City, fans Perak kritik taktikal 'parking' bas YCL

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan 'passing' Haqimi Azim buat fans geleng kepala, mula bandingkan dengan pemain Eropah

Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Usaid Jamal sekali gus kedua-dua pasukan hanya membawa pulang satu mata bagi aksi Liga Super minggu ini.

Perlawanan yang dimeriahkan 1,200 penyokong itu juga dihadiri oleh peminat bola sepak dari dari Belanda dengan dua individu berkenaan menyifatkan satu pengalaman menarik untuk ditonton.

Bagaimanapun, pengunjung yang juga penyokong pasukan gergasi Eredivisie, Ajax Amsterdam agak terkejut dengan keadaan padang di gelanggang rasmi skuad The Cats berkenaan.

“Ini kali pertama kami ke stadium di Malaysia. Di Belanda, kami selalu pergi stadium di Ajax, Amsterdam. Sangat panas dan saya rasa keadaan padang tidak terlalu bagus.

“Tapi tidak boleh dibandingkan dengan padang di Belanda. Tapi awak boleh nampak banyak pemain yang terjatuh. Perak pula nampak sangat berusaha terutama selepas gol pertama mereka.

“Tapi pengalaman yang menarik. Saya pun hairan kenapa penyokong tidak ramai. Mungkin boleh kumpulkan penyokong di satu kawasan,” katanya memetik video dimuat naik Lo Bola pada laman Facebook.

Keadaan padang di kebanyakan stadium di Malaysia sememangnya tidak berada di par memuaskan hingga menyaksikan ia banyak merencatkan permainan yang berlangsung lagi-lagi jika cuaca kurang mengizinkan.

Dalam pada itu, keputusan berkenaan menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) kekal menghuni tangga kelima Liga Super dengan 23 mata disusuli Kuching City FC di tangga keenam dengan 22 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram