
BERITA baik buat penyokong Sang Kenari apabila skuad futsal Kedah terus memperkukuh persiapan untuk saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2025 dengan merekrut Yazid Kamaruzuan.
Perpindahan bekas pemain JDT, Yazid Kamaruzuan, diumumkan oleh pengurusan Kedah melalui platform rasmi mereka.
Yazid sebelum ini menyertai skuad Harimau Selatan pada Disember 2023.
"KFA dengan bangganya mengumumkan kehadiran Yazid Kamaruzuan sebagai pemain terbaharu dalam skuad Futsal Kedah bagi musim 2025.
BACA LAGI: Buktikan masih berbisa, Alvaro ikut jejak Bergson, 2 lagi import JDT ledak gol debut
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya bukan kuda tua', Gonzalez buktikan kemampuan diri selepas 7 bulan tak beraksi
"Bekas tonggak skuad Kebangsaan ini bukan asing dalam arena futsal tanah air. Dengan pengalaman beraksi bersama Pahang Rangers, Selangor TOT United dan musim lalu bersama Harimau Selatan.
"Ketajaman penyudah, kepimpinan di atas gelanggang serta keupayaannya mencuri peluang dalam permainan ‘Power Play’ menjadikannya aset penting dalam misi pasukan musim ini.
"Kekuatan kaki kiri berbisa serta kelincahan yang sukar dikawal, Yazid dijangka memberikan dimensi baharu dalam serangan Kedah.
"Barisan kejurulatihan optimis kehadirannya akan memperkukuh pasukan dan meningkatkan lagi cabaran Kedah dalam perebutan kejuaraan musim ini," kata kenyataan itu di laman Instagram pada Jumaat.
Sebelum ini, Kedah mengekalkan mesin gol mereka iaitu Nattawat Luksanato yang difahamkan kontraknya disambung hingga 2025.
Pemain kelahiran Thailand berkenaan merupakan watak utama pada kempen musim lepas termasuk Piala Futsal Malaysia 2024 dan Luksanato berhasil menghimpun 15 jaringan gol dalam 13 perlawanan dia diturunkan.
Untuk rekod, Luksanato merupakan saudara terdekat kepada penyerang prolifik Thailand, Teerasil Dangda. Tidak hairan ketajamannya di hadapan gawang membuat pasukan lawan berhati-hati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram