[VIDEO] Nasib malang buat JDT, Mesa lengkapkan 'hatrik' import cedera lepas aksi debut


  • Podium
  • Khamis, 13 Feb 2025

Mesa menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan di kaki kerana kesalahan teknik menerjah pihak lawan.

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Central Coast Mariners (CCM) 2-1 wajar mendapat pujian kerana Harimau Selatan merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang masih bertahan di pentas Asia.

Ini kerana Selangor FC terkandas lebih awal di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas hanya menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan H.

Namun begitu, kejayaan JDT dalam perlawanan ACLE itu terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas pemain import baharu, Roque Mesa hanya sempat beraksi selama 26 minit.

BACA LAGI: [VIDEO] Ramon Marcote beri 9 tip buat kelab Liga M terus maju

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kad kuning untuk coach Torres', fans Persis Solo usik bekas jurulatih HM lepas insiden terjahan Ong Kim Swee

Ia selepas Mesa melakukan terjahan sebelum mengalami kecederaan di kakinya kerana kesalahan teknik menerjah pihak lawan.

Dalam perlawanan itu, Mesa cuba beraksi semula selepas menerima rawatan namun pemain berusia 36 tahun tersebut meminta untuk digantikan kerana tidak mampu meneruskan permainan.

Mesa menjadi pemain terbaharu dalam senarai kecederaan bintang JDT musim ini selepas Feroz Baharudin, Syahmi Safari dan Hong Wan yang terpaksa berehat panjang.

Selain Mesa, dua bintang import JDT baharu dan lama pernah mengalami kecederaan selepas melakukan debut bersama Harimau Selatan:

1. Enzo Lombardo

Enzo Lombardo rekrut baharu yang disambar Harimau Selatan boleh dianggap sebagai pengganti tepat kepada Fernando Forestieri.

Pemain terbabit memiliki karier yang menarik selepas kerap berpindah dalam kalangan pasukan kerdil sekitar Sepanyol walaupun merupakan produk bola sepak Perancis.

Namun begitu, selepas dua aksi bersama JDT musim ini, Enzo terpaksa berehat panjang apabila mengalami kecederaan semasa menentang Kuching City FC pada 27 September lalu.

Bekas bintang SD Huesca itu hanya sempat beraksi selama 17 minit sebelum mengalami kecederaan dan sehingga kini tiada sebarang penampilan dilakukan olehnya.

2. Patito Rodriguez

Patito Rodriguez menyertai skuad Harimau Selatan secara pinjaman pada 2015 menjadi bualan hangat kerana pernah beraksi di samping bintang bola sepak ternama, Neymar.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong JDT meletakkan harapan tinggi untuknya bersinar dalam misi menjadi sebuah kelab terbaik di tanah air.

Cita-cita itu mudah dicapai Patito selepas merekodkan dua bantuan gol dalam aksi debut Liga Super menentang ATM FA di laman sendiri.

Selain itu, kelincahan dan skil dipamerkannya membuatkan penyokong JDT cukup kagum apabila kelab berkenaan berjaya membawa bakat Amerika Selatan itu ke arena bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, harapannya untuk kekal lebih lama tidak tercapai selepas beberapa siri kecederaan menyaksikannya sukar diturunkan dengan kerap.

Isu tersebut berlaku kerana Patito sering dijadikan sasaran pertahanan lawan yang terpaksa melakukan bentesan keras untuk menyekat gerakannya.

Ia sekali gus menyaksikan JDT mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan khidmatnya pada penghujung musim yang membuatkannya pulang ke Santos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram