
NAMA wira Johor Darul Ta'zim (JDT), Alvaro Gonzalez kini menjadi bualan mulut penyokong tanah air selepas membantu skuad Harimau Selatan meraih kemenangan berharga dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite pada Selasa lalu.
Dua jaringan yang diledak pada babak kedua oleh import baharu JDT itu berhasil meletakkan skuad kendalian Hector Bidoglio menghuni tangga kelima carta dengan mengutip 11 mata selepas tujuh perlawanan.
JDT berhasil menumpaskan wakil kelab Australia, Central Coast Mariners dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Gosford, Austalia.
BACA LAGI: [VIDEO] Bantu benam Ulsan, Dion Cools 'ajar' Kim Pan-gon posisi sebenar atas padang
BACA LAGI: [VIDEO] Bidoglio kongsi keadaan terkini Roque Mesa, mahu sahkan kemaraan ACL Elite di laman sendiri
Keputusan tersebut membuka peluang buat kelab Selatan tanah air tersebut untuk mara ke pusingan kalah mati jika mampu meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan penutup menentang Pohang Steelers pada 18 Februari nanti.
Menariknya aksi tersebut, rekrut kelahiran Sepanyol itu berjaya membuat debut impian di ACLE apabila menjaringkan dua gol sekali gus membuktikan bahawa dia bukan 'kuda tua' sembarangan.
Dengan penampilan pertamanya bersama JDT, ketajaman Alvaro mengingatkan kita tentang tiga lagi pemain Harimau Selatan yang pernah mengulangi kejayaan serupa.
Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva.
1. Bergson da Silva
Penyerang sensasi, Bergson da Silva muncul wira JDT apabila meledak hatrik ketika membantu pasukannya berpesta gol menewaskan Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super 2021.
Merupakan aksi sulung bersama Harimau Selatan, Bergson tidak menunggu lama untuk membentuk gandingan mantap bersama rakan sepasukan lain.
JDT ketika itu yang dibarisi import ternama seperti Mauricio Nascimento dan Gonzalo Cabrera menerima tonik terbaik menerusi kehadiran penyerang kelahiran Brazil itu yang terus menggondol anugerah pemenang kasut emas 2021 dengan 30 jaringan berjaya dihasilkan dalam kesemua pertandingan pada musim tersebut.
Lebih membanggakan, Bergson mencapai jumlah sebesar itu selepas beraksi dalam 27 perlawanan sahaja.
Musim ini, Bergson sudah pun mencetak 32 gol dan tujuh hantaran bantuan selepas tampil 34 perlawanan bersama JDT.
Heberty merupakan seorang lagi pemain yang tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tiger
2. Heberty Fernandez
Penyerang import JDT, Heberty Fernandes berjaya membuat debut impian dalam Liga Super apabila menjaringkan gol pembukaan dalam membantu menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 29 Julai 2023.
Pemain berusia 37 tahun dari Brazil, yang hadir dari Bangkok United FC, memastikan JDT mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan apabila cubaan Muhammad Safuwan Baharudin mengeluarkan hantaran Oscar Arribas, terkena kaki Heberty dan masuk ke dalam gawang pada minit ke-79.
Kali terakhir Selangor menewaskan JDT adalah pada Ogos 2017 dengan kemenangan tipis 2-1, namun tewas sebanyak 12 kali dan seri tiga kali dalam kesemua pertandingan Liga-Malaysia (termasuk Piala FA, Piala Malaysia).
Beraksi bersama JDT musim ini, Heberty mencatatkan 15 gol dan sembilan assists selepas tampil dalam 34 perlawanan.
Kuni memulakan karier bersama JDT dengan baik apabila menjaringkan dua gol ketika bertemu Kelantan FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
3. Takahiro Kunimoto
Import kelahiran Jepun, Takashiro Kunimoto tidak perlu menunggu lama untuk membuka akaun jaringannya bersama skuad Harimau Selatan.
Dalam saingan Liga Super 2023 bertemu Kelantan FC, Kunimoto atau juga dikenali sebagai 'Kuni' tidak kekok untuk menyesuaikan diri sejak minit pertama permainan meskipun tiba sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup pada 1 Ogos 2023.
Menariknya bersama JDT, Kuni meninggalkan kenangan manis apabila menjadi pemain yang menjaringkan gol ke-100 buat Harimau Selatan ketika berdepan Kelantan FC dalam aksi Piala Malaysia 2023.
Bagaimanapun, jodoh Kuni bersama Harimau Selatan tidak bertahan lama selepas pemain kelahiran Jepun itu menyertai LN Tieren menerusi perpindahan percuma dari JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram