
POLIS menahan seorang pekerja kedai pajak gadai di Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dekat Kuantan, Pahang pada Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di tempat kerjanya di sebuah kedai pajak gadai pada 10.30 pagi Sabtu.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang lelaki mengunjungi kedai pajak gadai berkenaan dan menggadaikan gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.
BACA LAGI : [VIDEO] Bunuh wanita hantar pesanan: Suspek dicekup di Terengganu, polis rampas cincin dan wang tunai
BACA LAGI : [VIDEO] Suspek, mangsa kes bunuh di Kuantan tiada hubungan, polis dapati barang kemas pada mayat hilang
"Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini (Ahad) bagi membantu siasatan.
"Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada Ahad.
Wan Mohd Zahari seterusnya mengesahkan pembunuhan peniaga wanita itu adalah bermotifkan samun.
Terdahulu, pada Sabtu, polis menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pukul 5.30 pagi dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.
Suspek berusia 53 tahun itu direman seminggu bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes bunuh Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemui di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur Khamis lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram