
PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mengambil keputusan mengejut apabila mahu mengubah sistem permarkahan mereka daripada penggunaan format 21 mata kepada 15 mata.
Berbeza dengan sistem 15 mata yang dipakai satu masa dulu, format baharu tidak memerlukan pemain meraih mata ketika sedang memegang servis.
Sebaliknya, ia boleh didapati ketika lawan sedang memegang servis. Dengan bahasa mudahnya, kiraan 21 mata dikurangkan kepada 15 mata sahaja.
Dalam format baharu yang bakal diuji oleh BWF pada April ini melihatkan permainan dimainkan secara best of 3 seperti sekarang dan interval akan berlaku apabila satu-satu pemain memperoleh mata kelapan.
BACA LAGI: [VIDEO] Zii Jia tarik diri Jelajah Dunia akibat cedera, pemain Indonesia harap BWF ubah peraturan
Selain itu, sekiranya markah terikat 14-14, deuce dengan perbezaan dua mata perlu dicari pemain untuk memenangi satu-satu set dengan permainan mesti dihentikan apabila ia mencecah kedudukan 21.
Menurut BWF, tujuan perubahan format itu adalah untuk menjadikan perlawanan lebih singkat, mengujakan dan meningkatkan pengalaman pemain dan penyokong semasa kejohanan.
Bagi pemerhati badminton tempatan, Meor Abdullah Syamim, dia melihat tiada sebarang keperluan untuk BWF mengubah format sedia ada.
Baginya, sekiranya format ditukar, ia berpotensi merugikan penyokong kerana mereka membayar harga tiket yang mahal tetapi tempoh perlawanan semakin singkat.
"Saya kurang bersetuju dengan pengenalan format baharu itu kerana ia akan membuatkan permainan menjadi lebih cepat untuk berakhir. Jika ia dilakukan, ia sama seperti apa yang dihadapi penyokong sepak takraw yang mengalami perubahan format mata serupa. Penyokong bayar tiket mahal-mahal tapi perlawanan cepat habis.
"BWF hanya perlu kekalkan sistem 21 mata seperti biasa. Mengapa perlu diperbaiki benda dan sedia ada baik," kata Meor kepada Majoriti.
Nada itu adalah serupa apa disuarakan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky yang mengatakan sistem 21 mata perlu kekal.
Bagi Rexy, BWF perlu utamakan perkara lain berbanding cuba untuk mengubah sistem permarkahan permainan.
Melihat kepada situasi tersebut, Meor berkata fokus BWF seharusnya tertumpu kepada usaha membaiki protokol merawat pemain kecederaan semasa beraksi.
Protokol merawat pemain cedera semasa perlawanan sering mendapat kritikan pedas penyokong.
Ketika ini, pemain yang mengalami kecederaan tidak boleh menerima rawatan pantas semasa perlawanan dengan mereka hanya dibenarkan menarik diri.
"Pada saya, BWF perlu lebih utamakan isu protokol ketika pemain mengalami kecederaan semasa bermain kerana ia jauh lebih penting berbanding format kiraan mata.
"Itu adalah isu paling penting sebab ia melibatkan keselamatan pemain. Jika pemain teruskan juga tanpa sebarang rawatan, benda lebih teruk akan berlaku," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram