Kontroversi emoji 'duit terbang': Adam Nor Azlin optimis masih relevan, pihak atasan lebih tahu apa terjadi


  • Podium
  • Khamis, 13 Feb 2025

Adam (kiri) merupakan watak utama skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC

SUDAH bertungkus-lumus membantu Sri Pahang FC mara ke pentas final Piala Malaysia 2024, namun pihak pengurusan seolah-olah masih berdiam diri mengenai isu tunggakan gaji yang telah menimpa mereka sejak awal musim lepas.

Isu tunggakan gaji skuad Tok Gajah mungkin tidaklah berat seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC hingga menyaksikan ramai pemain dari dua pasukan itu ‘cabut lari’ tetapi ia tetap masalah yang perlu diselesaikan segera.

Masalah berkenaan semakin mendapat perhatian selepas pertahanan tengah Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin seperti meluahkan kekecewaan terhadap pihak atasan kelab berhubung isu kewangan menerusi Insta Story peribadinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Sri Pahang bantu pembedahan ayah asbab tonggak Tok Gajah setia dengan kelab

BACA LAGI: [VIDEO] Macam ada badi, 3 kali Pahang kecewakan JDT di pentas kalah mati

"Janji tapi mungkir, munafik," tulis pemain pertahanan itu ringkas berserta emoji berwarna kuning dan biru yang simbolik dengan kelab Pantai Timur tersebut serta lima emoji wang berterbangan pada baru-baru ini.

Luahan tersebut kemudiannya menjadi spekulasi dalam kalangan penyokong dengan rata-rata pengikut Tok Gajah mahu penjelasan lebih lanjut daripada bekas tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara terbabit, pemain berusia 29 tahun itu tanpa menafikan ia merujuk kepada masalah kewangan dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu tersebut.

3153827

Tangkap layar hantaran dari Adam berhubung isu gaji menimpa Tok Gajah.

“Itu (masalah tunggakan gaji) kena tanya pihak atasan lah. Mereka lebih layak dan lebih arif. Dan mereka lebih tahu apa yang terjadi. Ya (masih ada masalah gaji).

“Bukan saya seorang saja tetapi semua pemain. Mana-mana kerja pun akan dibayar gaji. Orang kata kena tepuk dada, tanya selera,” katanya ketika mengulas mengenai hantaran Insta Story yang dimuat naiknya.

Meskipun diuji dengan masalah sebegitu rupa, bekas bek kebangsaan itu enggan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak memberi aksi terbaik dalam membantu skuad Tok Gajah pada musim ini.

Adam memilih untuk mengetepikan seketika masalah tersebut kerana mahu memanfaatkan masanya bersama Tok Gajah bagi membuktikan bahawa dia masih relevan dalam bola sepak domestik.

WhatsApp Image 2025-02-11 at 03.32.54

Adam meninggalkan JDT pada awal musim 2024. — Facebook/JDT

“Sasaran saya tahun tahun ini untuk bermain sebanyak mungkin. Dan juga saya nak dapatkan balik permainan saya. Saya nak buktikan yang saya masih relevan lagi dalam liga.

“Itu kunci saya. Setiap perlawanan saya akan beri 200 peratus. Dan saya tolak tepi lah masalah yang berada di luar padang,” jelasnya yang berhijrah ke Pahang pada awal musim ini.

Selepas tidak dapat bersaing dengan pertahanan lain di JDT, Adam memilih untuk menyertai Tok Gajah pada awal musim ini. Setakat ini, Adam sudah merekodkan 21 penampilan domestik bersama Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram