[VIDEO] ‘Cramp macam mana nak main?’ Goh Sze Fei bengang pengadil paksa beraksi semasa alami kecederaan


  • Podium
  • Khamis, 12 Dis 2024

Sze Fei (kiri) berang dengan tindakan pengadil (kanan) yang memaksanya bermain ketika dalam kesakitan.

PEMAIN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei mencuri tumpuan apabila secara terbuka mempertikai tindakan pengadil yang tidak munasabah semasa dia dan pasangannya, Nur Izzuddin beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir.

Bertemu wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan, Sze Fei yang berusaha bersama-sama Izzuddin untuk memenangi set penentuan berdepan detik sukar apabila mengalami kecederaan.

Selepas membalas pukulan beregu Denmark itu, Sze Fei kemudiannya berasa kejang di kaki kanannya lalu permainan dihentikan.

BACA LAGI: Penaja mohon maaf isu bendera Malaysia terbalik di baju Lee Zii Jia

BACA LAGI: Zii Jia hilang satu halangan, Victor Axelsen tarik diri Jelajah Dunia Akhir

Sze Fei meminta agar bantuan perubatan dibenarkan masuk ke gelanggang untuk membolehkan dia menerima rawatan, namun tindakan pengadil mengejutkan pemain negara itu.

Hal ini kerana, pengadil tidak mengendahkan permintaan Sze Fei dan memaksa pemain itu untuk meneruskan permainan. Keputusan itu menerima tentangan Sze Fei yang kemudiannya mempersoal logik di sebalik paksaan untuk bermain ketika sakit.

"Kejang kaki, macam mana nak main? Awak boleh main masa kaki tengah kejang?," soal Sze Fei kepada pengadil itu.

Keputusan pengadil itu dilihat 'ikut buku' kerana peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak membenarkan pemain menerima rawatan sewaktu perlawanan dilangsungkan.

Disebabkan itu, pemain yang cedera tiada pilihan lain selain daripada menarik diri dan perlawanan ditamatkan.

Mujur buat Sze Fei, dia kemudiannya menerima rawatan selepas beregu Denmark bersetuju untuk pasukan perubatan Malaysia masuk memberikan bantuan.

Malah, dapat dilihat gandingan Denmark itu menunjukkan semangat kesukanan apabila turut datang ke Sze Fei dan melihat keadaannya.

Dalam perlawanan tersebut, Sze Fei-Izzuddin tidak berjaya untuk meraih kemenangan apabila kalah dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-16, 14-21. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram