Bekas orang kuat bola sepak Vietnam ingatkan Malaysia 'sedar diri', projek naturalisasi satu perjudian


  • Podium
  • Isnin, 10 Feb 2025

Harimau Malaya dikhabarkan akan mendapatkan khidmat bintang naturalisasi dan tonggak warisan baharu. — Facebook/FAM

BERITA Harimau Malaya bakal mendapatkan khidmat bintang naturalisasi dan tonggak warisan bukan hanya mendapat perhatian penyokong domestik, malah meraih liputan dari pengikut bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Antara yang sudah memberikan respons berhubung perkara berkenaan adalah bekas Naib Presiden Persekutuan Vietnam (VFF), Duong Vu Lam dengan dia meminta Malaysia untuk berfikir dua kali untuk tidak mengambil risiko berhubung pemain naturalisasi.

Kenyataan berkenaan dibuat oleh Vu Lam ketika mengulas perbandingan kekuatan Vietnam dan Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia 2027 susulan kedua-dua pasukan berada dalam Kumpulan F pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

BACA LAGI: Bonilla pamer wajah tak puas hati ‘dibuang’ lepas ledak gol kedua TFC di Paroi

BACA LAGI: Semakin hampir, Bergson beri 'hint' jadi bintang naturalisasi HM seterusnya

Memetik laporan media luar negara, Vu Lam menganggap Malaysia sebagai lawan paling sukar Vietnam pada pusingan tersebut dengan mengetepikan Laos dan Nepal sebagai pasukan lemah.

Memberi pandangan mengenai rancangan naturalisasi Malaysia, Vu Lam melihat ia sebagai rancangan agak berisiko untuk skuad kebangsaan berikutan Malaysia tidak mempunyai limpahan pemain keturunan seperti negara jiran, Indonesia.

Selain itu, tokoh bola sepak Vietnam tersebut juga melihat Malaysia tidak mempunyai presiden persatuan yang memiliki rangkaian antarabangsa seperti Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

Dua faktor yang dilontarkan Vu Lam itu dianggap akan memberi risiko kepada rancangan pemain naturalisasi dan warisan Malaysia dengan dia menyifatkan ia sebagai satu perjudian.

duong

Bekas naib presiden VFF, Duong Vu Lam.

"Saya juga mendengar bahawa pasukan Malaysia mahu memanggil pemain naturalisasi untuk menentang pasukan Vietnam. Tetapi ini agak berisiko untuk bola sepak Malaysia.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai presiden yang mempunyai hubungan antarabangsa yang meluas dan sumber kewangan yang kukuh seperti presiden Erick Thohir.

"Oleh itu, pencarian pemain naturalisasi untuk Malaysia adalah seperti perjudian. Sukar untuk mereka mencari pemain yang sepadan dengan akar umbi Malaysia jika mereka mahu meniru pasukan Indonesia,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend berkongsi bahawa FAM dalam proses akhir untuk mendapatkan pemain warisan bagi mewakili skuad kebangsaan.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, usaha untuk mendapatkan pemain tersebut kini di peringkat memperoleh pasport. Jika berjaya mendapatkannya, pemain tersebut sah boleh mewakili Malaysia.

rob

Friend dilantik sebagai CEO Harimau Malaya.

Dalam masa yang sama, Friend berharap tiga lagi pemain warisan yang akan berjaya diikat FAM bagi membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2027.

"Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.

"Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac, dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya," kata Friend. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram