
REVOLUSI Harimau Malaya yang sedang rancak dilakukan sekarang menyaksikan skuad kebangsaan bakal menerima pemain warisan dan naturalisasi baharu bagi membantu memperkuatkan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Pelantikan Peter Cklamovski sebagai pengendali membuktikan cita-cita besar yang dipasang skuad kebangsaan sebelum dia dituruti Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama pasukan.
Pembaharuan itu juga diharapkan berlaku untuk Malayan Tigress apabila sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob menyeru penyokong yang mempunyai maklumat mengenai pemain warisan wanita untuk berkongsi dengan badan induk itu.
BACA LAGI: 'Kami tiada headhunter macam skuad lelaki', FAM dan Malayan Tigress buru pemain warisan wanita
BACA LAGI: Masalah jadual liga jadi manifesto Niena Azman jika dilantik Kongres FAM
Idea itu disambut baik oleh calon yang akan bertanding ahli wanita FAM iaitu Nur Izwani Azman atau lebih dikenali sebagai Niena Azman dengan dia menyifatkan ia akan menambah baik kualiti Malayan Tigress.
"Sebenarnya memberi impak kepada kita rancaknya bola sepak wanita ni. Apa salahnya kita gunakan juga. Tapi betul nak mencari pemain perempuan berbeza sikit dengan lelaki. Nak tahu keinginan mereka nak main untuk negara ada atau tidak.
"Biasanya perempuan ini akan banyak melibatkan ibu bapa. Ibu bapa mereka banyak memainkan peranan untuk pujuk anak main dengan negara. Kadang-kadang anak mereka yang belajar di luar negara rupanya pemain warisan.
"Dari segi taktikal dan permainan, pemain warisan akan ada memberi pengalaman kepada pemain lokal. Sebenarnya dia menaikkan lagi taraf kita punya permainan. InshaaALLAH perkara ini boleh diketengahkan untuk bola sepak negara," katanya kepada Majoriti.
Ferdy Druijf antara calon pemain warisan Harimau Malaya. — Agensi
Selain ingin mengetengahkan pemain warisan, Niena Azman juga berazam untuk mengurangkan masalah gaji dalam kalangan tonggak bola sepak wanita yang saban tahun turut menular dalam kalangan beberapa pasukan.
Niena Azman yang kini berpengalaman dalam bidang kejurulatihan termasuk menguruskan pasukan bola sepak dalam KL Women’s League dan Liga Wanita Nasional (LWN) berkongsi tunggakan gaji menimpa pasukan wanita selalu berlaku dalam tempoh empat ke lima bulan.
Bekas penjaga gol kebangsaan berkenaan berharap FAM sudah boleh menyekat individu atau persatuan yang sebelumnya mempunyai rekod tidak membayar gaji pemain daripada menyertai mana-mana kejohanan.
Profil Niena Azman yang bertanding kerusi ahli wanita FAM.
"Kita kena tengok kemampuan setiap pasukan seperti cari tahu siapa pengurusi dia dan sebagainya. Kalau dah kena blacklisted, tidak boleh libatkan. Durasi liga perempuan pendek jadi selalunya akan tertunggak sehingga empat ke lima bulan.
"Cuma sedih bila ada pemain Sabah yang datang ke Semenanjung tapi bila terjadinya benda-benda macam ini, macam mana mereka nak survive. Dari situ Niena fikir bagaimana nak selesaikan perkara ini.
"Walaupun Niena akan kalah pada kongres nanti tapi Niena akan sentiasa memikir mengenai hal ini. Bagaimana untuk menyelesaikannya," ujarnya.
Untuk rekod, Niena Azman akan menentang calon-calon kategori heavyweight seperti Datuk Suraya Yaacob, Dr Siti Faidul Maisarah Abullah, Datuk Dr Fadilah Sarbi dan Mimi Afzan Afza bagi merebut kerusi ahli wanita FAM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram