
JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam misi memburu kemenangan untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners (CCM) di halaman lawan pada Selasa.
Harimau Selatan hadir ke Australia dengan misi penting untuk membawa pulang tiga mata bagi memperkukuhkan tempat dalam kelompok lapan terbaik berbekalkan momentum sembilan kemenangan berturut-turut.
Persiapan menentang kelab Australia itu juga sudah dibuat rapi apabila JDT bertindak untuk membawa masuk tiga wajah baharu iaitu bek tengah, Alvaro Gonzalez, penyerang sayap kiri, Jonathan Viera dan Roque Mesa beraksi di posisi tengah.
Kehadiran tiga pemain itu jelas akan membantu dalam segenap posisi Harimau Selatan dan antara yang paling ditunggu ialah aksi rakan karib Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi, Al-Nassr iaitu Gonzalez.
Kelibatnya di sesi latihan bersama rakan sepasukan lain juga memberi keyakinan kepada penyokong untuk aksinya dalam pertemuan penting menentang Central Coast Mariners pada Selasa.
Selain itu, gandingan Mesa dan Viera juga pastinya dinanti-nantikan oleh penyokong JDT selepas kedua-duanya pernah beraksi bersama di UD Las Palmas.
Kemasukan Mesa dan Viera bukanlah hanya pada nama kerana dua pemain itu antara 'pair' yang paling bagus di La Liga.
Penyokong JDT juga sempat melihat stadium milik Central Coast Mariners dengan melemparkan komen bahawa pusat latihan Harimau Selatan mirip fasiliti pasukan lawan.
"Macam tempat latihan harian JDT di padang Sri Gelam dekat tepi laut juga, cuma Central Coast Mariners stadium macam kita punya padang latihan," kata Yunus Omar.
"Harap 'on fire' tiga 'stooges' dari Sepanyol ini dengan JDT," ujar Caein Mus.
"Cantik rumput dia (Stadium Central Coast Mariners) semoga menang esok (Selasa)," luah Syazwi Azhar.
"Sebagai penyokong, saya harap perlawanan ini dengan tiga pemain Sepanyol di tanah Australia dapat berikan intensiti tinggi dan bawa JDT mencipta sejarah baharu," jelas Magandang Umaga.
Aksi Central Coast Mariners berdepan JDT bakal berlangsung pada Selasa, 11 Februari di tempat lawan dengan sepak mula pukul 4 petang waktu Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram