
SKUAD Sang Penyu mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang dengan kelompok tiga teratas selepas mengalami kekalahan kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri pada Jumaat.
Jaringan pembukaan Safwan Mazlan pada minit ke-15 meletakkan Terengganu FC di hadapan sebelum kapten pasukan pelawat, Paulo Josue berjaya mengikat kedudukan menerusi gol pada masa kecederaan babak pertama.
Serangan demi serangan tuan rumah gagal membuahkan hasil sebelum skuad Warga Kota akhirnya mencetak jaringan kedua mereka menerusi Patrick Reichelt yang menyempurnakan umpanan berkualiti Paulo.
BACA LAGI: Terlalu lama hilang, Ivan Mamut sudah pulang ke Eropah?
BACA LAGI: ‘Jumpa anda di Johor’, Ivan Mamut bagi petunjuk ketuai serangan Terengganu jumpa JDT
Skuad Sang Penyu berputih mata ketika menerima kunjungan KL City FC. — Facebook/Terengganu FC
Kemenangan tersebut jelas melakar senyuman buat KL City FC yang mencatatkan kemenangan buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun berkunjung ke negeri Pantai Timur berkenaan.
Bagi Terengganu FC pula, keputusan itu pasti sukar diterima kerana masing-masing kurang senang dengan persembahan barisan serangan, terutamanya daripada Nelson Bonilla.
Selain mensia-siakan peluang, pemain itu meraih perhatian apabila melakukan percubaan selepas sengaja mencuri bola daripada Akhyar Rashid sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh.
Persembahan kurang menyerlah berkenaan lantas membuatkan orang ramai merindui kelibat penyerang import, Ivan Mamut yang masih belum tampil sejak mengalami kecederaan pada pramusim lalu.
Ivan Mamut (tengah) sudah kembali ke padang latihan baru-baru ini. — Facebook/Terengganu FC
Sebelum ini, penyerang kelahiran Croatia itu difahamkan hampir kembali untuk beraksi selepas kelibatnya kembali kelihatan di padang latihan sebelum pertembungan Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Tetapi, sehingga kini, masih tiada sebarang perkembangan dikongsikan Terengganu FC mengenai keberadaan pemain itu yang sudah menjalani pembedahan di Finland bagi mengubati kecederaannya itu.
Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian di media sosial, penyokong mendapati Ivan Mamut turut hadir ke skuad Sang Penyu berdepan KL City FC, namun hanya tampil dengan status penonton.
Dalam perkongsian di aplikasi WhatsApp, import berkenaan berada di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu bersama seseorang tidak dikenali, dipercayai kenalannya di tanah air.
Ivan Mamut hadir ketika aksi Liga Super menentang KL City FC di laman sendiri.
Berdasarkan gambar terbabit, pemain berusia 27 tahun itu seperti sudah hampir untuk kembali dengan lututnya yang cedera tidak berbalut selain tubuh badannya kelihatan cergas.
Kepulangannya sudah tentu amat diharapkan penyokong Sang Penyu yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan gandingannya dalam barisan serangan bersama Akhyar, Safawi Rasid serta Ismaheel Akinade.
Musim lalu, Ivan Mamut menjadi tonggak utama Terengganu FC setelah menjaringkan 22 gol dalam 30 penampilan peringkat domestik, termasuk dalam final Piala Malaysia 2023 menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram