[VIDEO] Bukan sekali, 3 aksi ditunda termasuk jumpa Sang Kenari bikin fans Kuching City 'tersakiti'


  • Podium
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Hujan lebat yang turun di Stadium Negeri, Kuching mengganggu rentak permainan The Cats dan Sang Kenari.

ISU penangguhan perlawanan bukanlah perkara baharu dalam arena bola sepak tanah air, khususnya apabila melibatkan faktor cuaca, terutamanya hujan lebat yang menyebabkan keputusan tersebut terpaksa diambil.

Tindakan menangguhkan perlawanan itu sering kali menjadi cabaran besar kepada pihak kejurulatihan yang terpaksa melakukan perubahan terhadap jadual yang ditetapkan.

Kesan penangguhan tersebut turut menghalang pemain daripada beraksi mengikut perancangan awal, sekali gus mempengaruhi strategi serta persiapan pasukan.

BACA LAGI: Buktikan masih berbisa, Alvaro ikut jejak Bergson, 2 lagi import JDT ledak gol debut

BACA LAGI: [VIDEO] Bidoglio kongsi keadaan terkini Roque Mesa, mahu sahkan kemaraan ACL Elite di laman sendiri

Bukan sahaja faktor cuaca namun jadual padat antara sebab perlawanan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa ditunda.

Antara pasukan yang paling terkesan adalah Kuching City FC kerana terpaksa menelan pahit apabila tiga perlawanan Liga M mereka dibatalkan.

1. Terengganu FC vs Kuching City

Pasukan yang berpangkalan di Borneo itu sebelum ini terpaksa melupakan pertembungan ke-17 Liga Super bertemu Terengganu FC.

Hal ini kerana, aksi Liga Super yang sepatutnya berlangsung pada 18 Disember itu terpaksa ditangguhkan kerana beberapa pemain kedua-dua pasukan melaporkan diri buat skuad kebangsaan yang beraksi dalam Piala AFF.

The Cats

Dua pemain The Cats, Jimmy Raymond dan Danial Amier melaporkan diri buat skuad kebangsaan yang beraksi dalam Piala AFF.

Meskipun tiada sebarang perlawanan dilangsungkan pada tarikh itu, Harimau Malaya sedang sibuk melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ketika itu, skuad The Cats kehilangan khidmat Jimmy Raymond dan Danial Amier, sementara skuad Sang Penyu pula tidak kehilangan mana-mana pemain dengan hanya beberapa daripada mereka diletakkan dalam senarai bersedia antaranya penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Jadi, selepas lebih sebulan aksi itu ditangguhkan, MFL akhirnya mengumumkan ia akan dilangsungkan pada 21 Februari di Stadium Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

2. Sri Pahang vs Kuching City

Perlawanan antara Sri Pahang FC dan Kuching City dalam saingan Liga Super pada 2 November lalu ditunda berikutan hujan lebat dan air bertakung di padang Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang.

Ketika itu, skuad pelawat kendalian Aidil Sharin Sahak mendahului tuan rumah 1-0 hasil jaringan pemain import, Yuki Tanigawa pada minit ke-14.

Aksi di Temerloh itu ditangguh selepas 30 minit perlawanan berlangsung.

Meskipun aksi itu ditunda, penonton perlawanan di Temerloh itu diminta menyimpan keratan tiket bagi membolehkan mereka hadir semula menyaksikan pertemuan itu.

Berita baik buat kedua-dua penyokong apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa aksi ke-15 liga itu bakal berlangsung pada 4 Mac 2025 di bumi Pahang.

3. Kuching City vs KDA FC

Aksi Liga Super membabitkan Kuching City dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa ditunda.

Perlawanan ke-19 liga yang sepatutnya berlangsung pada 24 Januari terpaksa ditunda ekoran hujan lebat melanda bumi Sarawak.

Dalam aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mempamerkan aksi berkualiti dalam keadaan cuaca hujan lebat di Stadium Negeri, Kuching.

Perlawanan kemudiannya dihentikan pada minit ke-14 oleh pengadil, Razlan Joffri Ali susulan hujan lebat dan padang digenangi air di Stadium Negeri.

Selepas sejam menunggu dan semakan daripada komisioner perlawanan, aksi Kuching City dan Kedah terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak dan keputusan aksi itu 0-0.

Dalam perkembangan terbaru, aksi ke-19 liga itu dijadual akan berlangsung pada 12 Mac 2025 di gelanggang sendiri The Cats. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram