
SEBELUM kebangkitan menakjubkan Kuching City FC dalam Liga Super musim ini, peminat kelab Borneo tanah air itu hanya boleh tersenyum setiap kali melihat aksi penyerang import, Abu Kamara.
Pemain yang berasal dari Liberia berkenaan sememangnya satu pakej lengkap bagi seseorang dalam barisan serangan kerana kualiti penyudahnya jauh meninggalkan rakan sepasukan lain.
Keunggulannya di atas padang menyaksikannya berjaya muncul penjaring terbanyak dalam Liga Perdana 2022 sebelum menduduki tangga keempat dalam carta penjaring Liga Super musim berikutnya.
BACA LAGI: Bukan ke Penang FC, Abu Kamara dikhabar ke Pantai Timur
BACA LAGI: Fans Kedah, Penang dan Terengganu ada sebab berasa kecewa dengan keputusan Abu Kamara
Rodrigo Dias menjadi pilihan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Malah, pada tahun terakhirnya bersama skuad The Cats, Abu Kamara sempat meninggalkan memori manis buat penyokong setelah membantu pasukan tersebut mara ke pentas akhir MFL Challenge Cup.
Jaringan demi jaringan dicatatkan menyaksikannya menjadi rebutan beberapa kelab tempatan dengan pasukan Utara tanah air, Penang FC disebut menjadi salah satu destinasi buatnya.
Kelab tersebut sememangnya mencari penyerang pada jendela perpindahan lalu selepas Abdul Abdeen Temitope dan Soony Saad meninggalkan skuad Harimau Kumbang.
Bagaimanapun, hasrat pihak pengurusan Penang FC tidak kesampaian apabila Abu Kamara mengambil keputusan berhijrah ke Timur Tengah dan menyertai Dibba Al-Hisn di Emiriah Arab Bersatu pada Januari sebelum berkelana ke pasukan Bahrain, Manama FC sembilan bulan kemudian.
Perpindahannya tidak terhenti di situ kerana pada awal tahun lalu, pemain berusia 27 tahun itu sekali lagi berpindah dengan pasukan Oman, Al Seeb FC menjadi pilihan terbarunya.
Abu Kamara mula mendapat rentak sejak menyertai Al-Seeb FC. — Instagram/Abu Kamara
Meskipun tiada laporan mendalam mengenai setiap keputusan dan perpindahan dimeterai, kesukaran dalam menyesuaikan diri boleh dikatakan punca buat Abu Kamara berkelana terlalu kerap.
Tetapi, dia seperti sudah menemui destinasi terbaik kerana dalam dua perlawanan liga, penyerang tersebut sudah menjaringkan tiga gol yang membantu mereka mengukuhkan kedudukan di persada liga.
Sentuhan berbisanya di Timur Tengah sudah pasti dicemburui Penang FC kerana penyerang mereka ketika ini, Rodrigo Dias terus bergelut meskipun baru sahaja menjaringkan empat gol ketika berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Lebih menyakitkan lagi, Abu Kamara kini menyarung jersi berwarna hijau kuning yang amat sinonim dengan seteru setempat buat skuad Harimau Kumbang, Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Meskipun hal itu kurang disedari ramai, ia pasti akan menjadi bahan usikan peminat skuad Sang Kenari sekiranya gosip perpindahan Abu Kamra ke Penang FC lebuh hangat diperkatakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram