
SELANGOR FC jelas tidak berada dalam rentak terbaik musim ini apabila mereka sekali lagi berputih mata untuk menamatkan penantian sembilan tahun untuk meraih sebarang trofi.
Kekalahan memalukan dalam final Piala FA selain penyingkiran awal daripada Piala Malaysia menyaksikan kelab Lembah Klang itu terpaksa menelan kehampaan meskipun mereka memulakan kempen dengan langkah kanan.
Bagaimanapun, kekecewaan skuad Gergasi Merah masih boleh dipadam apabila mereka menggunakan peluang melangkah ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup setelah menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Penang FC.
BACA LAGI: Kinoshi anggap aksi final MFL Challenge Cup peluang Selangor gembirakan penyokong
BACA LAGI: Pertukaran jurulatih ganggu 'momentum' Selangor FC — Nizaruddin
Skuad Sang Saka Biru menjuarai MFL Challenge Cup musim lalu. — Facebook/PDRM FC
Meskipun trofi berkenaan tidaklah begitu berprestij, kemenangan dalam kejohanan itu diharapkan dapat menyuntik kesungguhan buat anak-anak buah Katsuhito Kinoshi untuk mencabar kejuaraan pada tahun-tahun akan datang.
Namun, tugasan menanti skuad Gergasi Merah dalam pentas final bukanlah sesuatu hal mudah kerana mereka akan berdepan PDRM FC yang mempunyai reputasi baik pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Selangor FC juga mempunyai pengalaman dalam kekecewaan itu kerana dalam pertembungan Liga Super musim ini, mereka hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan skuad Sang Saka Biru di Stadium Selayang, Selangor.
Jadi, sekiranya skuad Gergasi Merah mahu mencipta kemenangan, persiapan lebih rapi perlu dilakukan bagi menyekat bintang pihak lawan seperti Bruno Suzuki, Ifedayo Olusegun dan Shahrel Fikri.
Nizaruddin beranggapan kelebihan masih berpihak kepada Selangor FC.
Nasihat berkenaan turut disampaikan legenda kelab, Nizaruddin Yusof yang mengakui peluang berpihak kepada kelab berkenaan, namun ia bukanlah alasan untuk mereka memandang rendah pihak lawan.
"Saya rasa bukan tugas yang mudah jugalah untuk Selangor meraih kemenangan, tetapi mereka masih mempunyai kelebihan dalam mencapai kemenangan. Ini kerana Selangor berpengalaman dan sering bermain di pentas final dan separuh akhir.
"Jadi, untuk saya, mungkin dari segi pengalaman, Selangor FC sendiri bermain dalam final mungkin boleh boleh diterjemahkanlah untuk perlawanan nanti sebab perlawanan pertama diadakan di Stadium MBPJ.
"Tetapi, jangan ambil mudah cabaran PDRM kerana kita tahu jurulatih mereka, P Maniam juga arif tentang Selangor dan dia juga ada pemain-pemain yang mampu menggalas tanggungjawab dalam bermain di pentas akhir dan boleh berikan saingan," katanya kepada Majoriti.
Skuad Gergasi Merah berada dalam prestasi baik ketika ini. — Facebook/Selangor FC
Perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup akan dilangsungkan di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu sebelum aksi timbal balik di 'rumah' PDRM FC seminggu kemudian.
Sekiranya skuad bimbingan Kinoshi menggungguli kejohanan tersebut, mereka akan muncul pasukan keempat menjuarainya selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Terengganu FC II dan PDRM FC menjulang trofi itu pada edisi-edisi yang lalu.
Dalam pada itu, Nizaruddin beranggapan Selangor FC memiliki kelebihan dari segi rentak di atas padang kerana mereka tidak mengalami sebarang kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir.
"Dari segi aturan pemain, saya nampak kedua-dua pasukan ada peluang untuk menang, tetapi bagi saya, andai kita tengok semula kepada rekod Selangor FC dalam 10 perlawanan terakhir, mereka nampak konsisten apabila meraih sembilan kemenangan dan hanya seri sekali.
"Oleh itu, andai kata perlawanan pertama ini main di laman sendiri, Selangor perlu ambil kesempatan terbaik untuk dapatkan bekalan selesa bagi perlawanan di Stadium Selayang," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram