Bintang Penang, tonggak 2 kelab Lembah Klang skuad Piala MFL rupanya ada 'abang besar' dalam Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Dari kiri: Alfi, Haziq dan Hafizy sudah tentu mahu mengikuti jejak langkah abang masing-masing yang kekal beraksi dalam Liga Super.

PEWARISAN bakat dalam dunia bola sepak bukanlah sesuatu yang baharu kerana acap kali kita mendengar seorang pemain mengikuti jejak langkah bapa mahupun saudara mara yang dahulunya aktif dalam sukan tersebut.

Perkara itu juga bukanlah sesuatu hal janggal dalam negara kerana pemain seperti Zaiza Zainal Abidin memilih untuk meneruskan legasi generasi terdahulu yang pernah beraksi ligat di atas padang.

Malah, pewarisan bakat bola sepak juga dapat disaksikan dalam kalangan adik-beradik dengan pasangan Afiq Fazail dan Irfan Fazail serta Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Zaquan Adha Abdul Radzak merupakan contoh terbaik.

BACA LAGI: Gandingan Fazail, Lambert antara pasangan adik-beradik masih aktif di Liga Super

BACA LAGI: Kekangan bajet tak halang adik-beradik Azmi tumpaskan Johor, mara ke semi final lepas 38 tahun

zaquan-aidil

Aidil (kiri) dan Zaquan pernah beraksi bersama-sama di atas padang.

Lebih menarik lagi, ada di antara mereka sempat beraksi bersama-sama di atas padang, baik di peringkat kelab mahupun bersama skuad kebangsaan yang pasti menjadi momen sukar dilupakan.

Namun, tahukah anda bahawa tradisi berkenaan diteruskan sehingga hari ini apabila masih terdapat pasangan adik-beradik yang kedua-duanya masih aktif di atas padang dengan pemain lebih muda berada dalam skuad belia.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan pemain Piala MFL yang mengikuti jejak langkah abang masing-masing yang kini masih beraksi dalam saingan Liga Super.

1. Haziq Kutty Abba

Prestasi Penang FC, baik pasukan senior mahupun skuad belia musim ini sedikit mengecewakan kerana kedua-dua mereka masih bergelut untuk menampilkan aksi konsisten dalam Liga Super mahupun Piala MFL.

Bagaimanapun, di sebalik kemurungan yang melanda kelab Utara tanah air itu, penyokong masih boleh tersenyum kecil apabila mereka sempat menyaksikan gandingan Syamer Kutty Abba bersama adiknya, Haziq Kutty Abba.

Haziq yang berusia 20 tahun sudah bersama skuad Harimau Kumbang sejak beberapa tahun lalu, namun diletakkan dalam skuad Piala MFL bagi meraih minit permainan lebih kerap.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 7.03.51 PM

Haziq terus memainkan peranan penting dalam skuad muda Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, musim ini, dia menerima suntikan semangat apabila diberi peluang beraksi di samping abangnya yang hadir secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan pertama Liga Super 2024/25.

Peluang itu disaksikan ketika aksi MFL Challenge Cup menentang Selangor FC pada 2 Februari sebelum mereka sekali lagi digandingkan dalam saingan Liga Super menentang Perak FC 10 hari kemudian.

Kesempatan tersebut diharapkan dapat melonjakkan karier Haziq yang pasti mahu mengikut jejak langkah Syamer yang pernah diangkat sebagai antara pemain tengah terbaik dalam negara.

2. Hafizy Nadzli

Dalam saingan Piala MFL musim ini, Kuala Lumpur (KL) City Extension merupakan antara pasukan terbaik dalam aspek pertahanan apabila hanya dibolosi 17 kali selepas 20 perlawanan.

Statistik cemerlang itu dicatatkan kerana kelab Lembah Klang terbabit memiliki lambakan penjaga gol, termasuk Hafizy Nadzli yang diturunkan sebanyak tiga kali setakat ini.

Malah, dalam semua perlawanan diturunkan, pemain berusia 21 tahun itu beraksi cukup baik, termasuk ketika pasukannya menundukkan JDT II dengan keputusan 1-2 di tempat lawan pada awal Februari lalu.

2871772

Hafizy (dua dari kiri) turut beraksi dalam temasya SUKMA buat Wilayah Persekutuan. Facebook/Sarawak FA

Tidak cukup dengan itu, Hafizy juga berjaya membuktikan kebolehannya ketika mewakili Wilayah Persekutuan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dengan membawa pulang pingat emas.

Sekiranya rentak cemerlang itu dapat diteruskan, tidak mustahil bagi penjaga gawang berkenaan untuk mengikuti jejak langkah abangnya, Haziq Nadzli yang kini beraksi buat Perak FC.

Di samping bersinar di peringkat kelab, pemain itu pernah mencuri nama di peringkat kebangsaan kerana sudah merekodkan beberapa penampilan buat Harimau Malaya, termasuk dalam saingan Piala AFF yang lalu.

Meskipun jurang dari segi pengalaman kedua-dua pemain tersebut amat besar, Hafizy yang mula membuktikan potensi buat KL City Extension mempunyai peluang melangkah ke platform lebih tinggi selepas ini.

3. Alfi Rasid

Musim lalu, perpindahan Alfi Rasid ke Kedah Darul Aman (KDA) FC B mencuri perhatian ramai apabila pemain itu dijangka mampu mengikuti jejak langkah abangnya, Safawi Rasid.

Bagaimanapun, harapan itu tidak kesampaian apabila dia kerap disisihkan dengan hanya satu penampilan sulung dapat direkodkan dalam saingan Piala MFL 2023 buat kelab Utara tanah air berkenaan.

Bagi memastikan bakatnya tidak terpadam, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai PDRM FC pada awal musim lalu yang sedikit sebanyak memberi peluang lebih kerap baginya.

446231434_971951127967569_7718991664576271383_n

Alfi menyertai PDRM FC selepas kurang mendapat peluang bersama KDA FC B. Instagram/Alfi Rasid

Mengikut statistik, Alfi sudah diturunkan sebanyak lapan kali dalam Piala MFL 2024/25 buat skuad muda Sang Saka Biru dengan masih terdapat lima aksi berbaki baginya.

Sekiranya pemain yang baru berusia 23 tahun itu dapat membuktikan dirinya, dia sudah tentu dapat menembusi pasukan utama pada musim-musim akan datang, sekali gus menamatkan penantian beraksi dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram