Bukan ke Penang FC, Abu Kamara dikhabar ke Pantai Timur


  • Podium
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Kamara menjadi ayam tambatan untuk Kuching City bagi dua musim ini. — Facebook/KuchingCity

PERJALANAN penyerang Liberia, Abu Kamara bersama Kuching City FC menemui titik nokhtah selepas dua musim menabur bakti di kelab berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan.

Selepas melalui dua musim yang indah dan menjadi naib johan Piala Cabaran bersama Kuching City, Kamara menerusi media sosialnya mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Bagaimanapun, selepas hampir semusim berehat daripada saingan Liga Super, Abu Kamara dikhabarkan akan beraksi semula di atas padang menjelang jendela perpindahan kedua dibuka nanti.

BACA LAGI: Masih belum sah, fans JDT, Selangor dan Penang tak sabar 3 rumors perpindahan jadi kenyataan

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Borneo bersaudara, sama-sama nyanyi lagu Bekikis Bulu Betis ketika Sabah tewaskan Sarawak raih emas takraw SUKMA

Difahamkan, khidmat bekas penyerang The Cats itu kini ditagih oleh salah sebuah pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur.

Khabar angin itu dianggap benar selepas pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran mendedahkan bahawa bekas pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 itu bakal menyertai Kelantan Darul Naim tidak lama lagi.

"Difahamkan, bekas penyerang Kuching City FC, Abu Kamara mungkin akan menyertai Kelantan Darul Naim pada jendela perpindahan kedua," tulisnya di laman X.

Sekiranya khabar angin itu benar, sudah pasti kehadiran Kamara dijangka mampu mempertajamkan jentera serangan Kelantan yang kini berada di kedudukan tercorot liga.

Untuk rekod, selepas lapan perlawanan liga, skuad kendalian Park Jae Hong itu hanya mencatatkan satu kemenangan dan tujuh kali seri dengan meraih tiga mata.

Abu Kamara sebelum ini pernah dikhabarkan bakal ke Penang FC untuk membantu jentera serangan pasukan itu yang sering dikecewakan oleh penyudah tumpul iaitu, Abdul Abdeen Temitope. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram