
SELANGOR FC II akhirnya dapat melakar senyuman apabila berjaya memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melonjak ke kedudukan teratas Piala MFL selepas 19 perlawanan.
Kejayaan mendaki ke puncak carta itu direkodkan selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC dalam perlawanan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis.
Bagaimanapun, aksi itu dipenuhi dengan warna-warni apabila skuad muda Gergasi Merah memerlukan penalti pada minit-minit akhir permainan untuk meraih tiga mata penuh.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan syarat AFC, ramai anggap kewujudan Piala MFL runtuhkan bola sepak negara
BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL
Skuad Gergasi Merah memiliki kelebihan dua mata berbanding JDT II dalam carta Piala MFL.
Selepas 45 minit perlawanan berlangsung, kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan dengan serangan demi serangan dilancarkan, namun masing-masing tidak bernasib baik di hadapan gawang.
Namun, drama aksi berkenaan dapat disaksikan pada separuh masa kedua bermula dengan pembukaan jaringan daripada Izrin Ibrahim yang meletakkan Selangor FC II di hadapan.
Memasuki masa kecederaan permainan, kemenangan seperti berpihak kepada skuad muda Gergasi Merah dengan keputusan tersebut sudah cukup untuk membawa mereka ke puncak carta Piala MFL.
Tetapi, pengadil perlawanan, Fitri Maskon bertindak menghadiahkan sepakan penalti selepas mendapati bola mengenai pemain pertahanan pasukan pelawat, Afiq Danish Hasniruddin yang kemudian dibantah Selangor FC II.
Pihak pengadilan bagaimanapun bertegas dengan keputusan tersebut, sekali gus menyaksikan Hariz Kamarudin tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan.
Kehangatan perlawanan tidak terhenti di situ apabila giliran skuad muda Gergasi Merah diberikan sepakan penalti berikutan kekasaran dilakukan Izzafiq Ruzi terhadap Rohisham Haiqal.
Perlawanan mendebarkan disaksikan di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Khamis. — Majoriti
Bagaimanapun, tendangan itu gagal disempurnakan tonggak pasukan, Haykal Danish Haizon yang menyaksikan percubaannya ditepis Haziq Fitri Nek Lah yang merancakkan lagi perlawanan.
Kekecewaan Selangor FC II tidak berpanjangan apabila pengadil sekali lagi menjadi tumpuan setelah menghadiahkan sepakan penalti kepada mereka selepas mendapati Haykal dikasari Hariz.
Peluang keemasan tersebut akhirnya disempurnakan pasukan pelawat dengan penalti tersebut dijaringkan Haykal bagi membolehkan pasukan Lembah Klang itu membawa pulang tiga mata penuh.
Keputusan di Paroi, Negeri Sembilan itu menyaksikan penentuan Selangor FC II untuk memintas JDT II dalam carta berakhir dengan hanya tiga aksi berbaki buat pasukan bimbingan Abdi Hassan.
Mereka akan berdepan Perak FC pada Selasa bagi aksi ke-22 Piala MFL musim ini sementara skuad muda Harimau Selatan akan berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak sehari sebelumnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram