[VIDEO] Bukan syarat AFC, ramai anggap kewujudan Piala MFL runtuhkan bola sepak negara


  • Podium
  • Khamis, 13 Feb 2025

Terengganu FC II muncul juara edisi sulung Piala MFL selepas menundukkan JDT II dalam perlawanan akhir musim lalu. — Facebook/Terengganu FC II

SAINGAN Piala MFL sebelum ini diperkenalkan pada 2023 dengan misi memberikan minit permainan kepada pemain yang berada dalam kelompok Bawah 23 Tahun (B-23) supaya mereka bersedia untuk diserap ke dalam skuad senior.

Bagaimanapun, sasaran diletakkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu tidak kesampaian kerana hampir semua kelab mengambil peluang dengan meletakkan mereka dengan minit permainan terhad dalam pertandingan tahap belia tersebut.

Impak daripada hal itu sekali gus meranapkan harapan pengelola untuk memastikan 'ubi muda' negara dapat berkembang sebelum diserap ke dalam pasukan utama sejurus masing-masing bersedia.

BACA LAGI: Sireh pulang ke gagang, ex bintang Pahang-Terengganu-Kuching City kini 'coach' skuad Piala MFL kelab masing-masing

BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL

Trofi-Piala-MFL-1

Penganjuran Piala MFL bertujuan memberi minit permainan kepada pemain muda di setiap kelab. Sukanz

Lebih mendukacitakan lagi, penubuhan Piala MFL disebut sebagai punca masalah kewangan kerana kelab gagal menanggung kos operasi meningkat dengan kehadiran pemain B-23 yang semakin ramai.

Namun, penyokong tidak boleh memberi pandangan mereka yang mengatakan kejohanan itu tidak relevan memandangkan masing-masing percaya pertandingan itu perlu diperkenalkan seperti mana dicadangkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tetapi, pendirian itu adalah kurang tepat kerana pada Khamis, Datuk Seri Windsor Paul yang merupakan Setiausaha Agung AFC menjelaskan liga khas bagi skuad B-23 tiada dalam syarat pelesenan pertubuhan itu.

"Liga bawah 23 tahun itu tidak wujud kerana apabila sudah mencapai usia tersebut, masing-masing sepatutnya sudah beraksi dalam liga senior dan di bawah Kategori FIFA dan AFC, kategori belia terhenti pada usia 20 tahun.

"Itulah sebabnya pertandingan AFC di peringkat belia hanya dianjurkan sehingga umur 20 tahun. Selepas itu, kita anggap mereka adalah pemain mantap dan sepatutnya berada dalam skuad senior," katanya seperti mana dilaporkan di laman X pemerhati sukan, Fina Nasrom.

Penjelasan itu sekali gus menceritakan tiada kewajipan bagi badan pengelola Liga Super tersebut untuk mewujudkan Piala MFL yang pada akhirnya hanya membawa kerugian terhadap pasukan tanah air.

Menyedari perkara tersebut, penyokong tampil mempersoalkan sama ada kejohanan peringkat belia itu masih relevan untuk diteruskan musim depan kerana kelangsungannya akan memberi kesan lebih besar terhadap struktur kewangan kelab.

"Bagaimana MFL boleh tergamak 'meruntuhkan' industri bola sepak dengan mewajibkan penubuhan skuad B-23 sebagai salah satu syarat utama untuk memohon lesen AFC tersebut?

"Malah, mengetahui bebanan dipikul oleh kelab menyebabkan semakin tinggi peluang kepada pemain tidak mendapat gaji selama berbulan-bulan?" tulis Football Agent - Malaysia.

"Harap selepas ini dapatlah hapuskan liga B-23 dengan pemain muda perlu tingkatkan prestasi supaya dapat main liga utama. Jika tidak boleh, cuba main Liga Perdana tahun depan atau liga amatur," kata Haiqal Zafran.

"Sebab itulah saingan Piala MFL patut dibubarkan dan hanya wujudkan liga B-19, B-17 dan B-16 sahaja untuk tujuan pembangunan. Mereka yang berumur 20 tahun sudah boleh diserap ke dalam pasukan senior," ujar Syam Along.

Sebelum kewujudan kejohanan berkenaan dua tahun lalu, pemain muda masih diberikan peluang beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia berdasarkan had umur masing-masing.

Meskipun tahap kompetitif pertandingan tersebut tidaklah terlalu tinggi, ia memberikan ruang buat pihak pengurusan menilai tahap 'ubi muda' dalam pasukan sebelum menawarkan kontrak profesional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram