
PERTEMBUNGAN perlawanan akhir antara Selangor FC dan PDRM FC dalam saingan Piala MFL 2024 bakal menentukan kelab mana yang akan dinobatkan sebagai 'Raja Lembah Klang'.
Pertemuan final Piala MFL diramal bakal menjadi tumpuan dengan PDRM kini membawa status juara bertahan, tatkala Selangor masih kebal tanpa kekalahan dalam 10 aksi terakhir.
Sang Saka Biru akan turun dalam pertemuan pertama perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu sebelum menghitung aksi final kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, seminggu kemudian.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramon Marcote beri 9 tip buat kelab Liga M terus maju
Pertembungan menarik itu akan menyaksikan penyerang The Cops, Ifedayo Olusegun berdepan dengan bekas pasukannya itu.
Menariknya, tahukah anda bahawa Ifedayo bukan satu-satunya bekas pemain Gergasi Merah yang kini beraksi untuk Sang Saka Biru kerana terdapat tiga lagi individu yang pernah menabur bakti bersama Selangor.
Bekas penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri.
1. Shahrel Fikri
Bekas penyerang kebangsaan tanah air, Shahrel Fikri memilih untuk menyarung jersi PDRM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024/2025 selepas setahun beraksi bersama Negeri Sembilan FC (NSFC).
Tahukah anda bahawa pemain berusia 31 tahun itu pernah menabur bakti bersama Selangor FC bagi musim 2020/2021.
Beraksi bersama Gergasi Merah ketika itu, penyerang berketinggian 1.80 meter itu tampil dalam 11 perlawanan dengan mencetak satu gol serta dua assists.
Jika dilihat dari segi sejarah, Shahrel yang pernah beraksi bersama Selangor, pasti memiliki pemahaman yang mendalam mengenai corak permainan dan taktikal yang diterapkan oleh pasukan tersebut.
Pengalamannya bersama Gergasi Merah sebelum ini memberi kelebihan dalam merancang strategi untuk mengekang serangan pasukan lamanya.
P Maniam pernah mengendalikan Gergasi Merah.
2. P Maniam
Ketua Jurulatih PDRM FC, P Maniam pastinya mahu meraih kemenangan ke atas pasukannya bagi merebut gelaran 'Raja Lembah Klang'.
Sebagai bekas pengendali Selangor bagi musim 2017 hingga 2018, Maniam tentunya memiliki taktikal dan strategi yang pernah diterapkan dalam pasukan tersebut.
Pengalaman itu memberi kelebihan kepadanya untuk merancang perlawanan dengan bijak apabila berdepan dengan anak-anak buah Katsuhito Kinoshi nanti.
Dalam situasi ini, Maniam boleh menggunakan pengetahuannya mengenai taktikal serta pemain-pemain utama yang terdapat dalam pasukan Selangor, menjadikannya sebagai aset penting dalam pertemuan ini.
Shafizi Iqmal pernah menabur bakti bersama Selangor FC II.
3. Shafizi Iqmal
Pemain tengah menyerang Sang Saka Biru, Shafizi Iqmal turut pernah menabur bakti untuk Selangor FC II pada musim 2021/2022.
Sepanjang tempoh bersama Selangor FC II, Shafizi berpeluang menimba pengalaman berharga dan menambah lagi kemahiran serta taktik permainannya.
Pengetahuannya tentang permainan Selangor turut memberi kelebihan kepada Shafizi yang dilihat mengetahui strategi dan taktikal Gergasi Merah itu.
Dalam perlawanan penting bertemu Selangor, Shafizi pasti akan memanfaatkan pengalaman lalu untuk menghadapi cabaran dengan lebih berkeyakinan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram