SUDAH menjadi kebiasaan dalam bola sepak, pastinya ada pasangan adik beradik menceburi bidang sama untuk beraksi sebagai bintang profesional.
Di luar negara, kita diperkenalkan dengan pelbagai nama adik-beradik seperti Gary dan Phil Neville, Simone dan Filippo Inzaghi serta Kevin dan Jerome Boateng.
Tetapi, di Liga Super juga tidak kurang hebatnya. Terdapat beberapa pasangan adik-beradik yang menghiasi kancah bola sepak tempatan.
BACA LAGI: 'JDT pasukan nombor satu, tapi boleh jadi sesiapa saja di tempat kedua'
BACA LAGI: Malang selepas tinggalkan JDT, Solari alami nasib sama seperti Benjamin Mora
Afiq dan Irfan Fazail
Merupakan gandingan pemain tengah kelahiran Johor. Kedua-dua Afiq dan Irfan pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT).
Irfan yang merupakan si abang mencipta nama bersama Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee sebelum kemunculan Afiq menarik perhatian ramai.
Afiq Fazail merupakan salah seorang pemain tengah terbaik di negara.
Afiq dianggap sebagai salah seorang pemain tengah bertahan (defensive midfielder) terbaik di negara dan sehingga kini masih bermain baik untuk JDT.
Kini, kedua-dua tidak bersama dalam satu kelab dengan Irfan di Sabah FC dan Afiq bersama JDT.
Declan dan Ryan Lambert
Merupakan pasangan kembar yang amat disenangi oleh penyokong Kuala Lumpur City FC, Declan dan Ryan Lambert merupakan adik-beradik yang tidak beraksi di posisi sama.
Declan merupakan pemain pertahanan kiri sementara Ryan adalah jentera di bahagian tengah.
Pasangan Lambert sering dikaitkan dengan KL City.
Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam kejayaan KL City terutamanya sewaktu memenangi Piala Malaysia 2021 selain mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 serta Piala FA 2023.
Kini, kedua-duanya disunting oleh JDT, tetapi pasangan tersebut dipinjamkan semula ke KL City musim ini.
Oday dan Layth Kharoub
Bukan selalu kita dapat saksikan pasangan adik-beradik dalam kalangan pemain import beraksi di negara kita dan pasangan Kelantan Darul Naim (KDN) FC adalah salah satunya.
Kelab Pantai Timur itu pada mulanya mengikat khidmat Oday yang merupakan seorang pemain tengah bertahan berusia 31 tahun. Malah, Sang Kijang Emas turut menamakan dia sebagai ketua pasukan.
Pada jendela perpindahan kedua Liga Super, KDN membawa pula abangnya yang merupakan penyerang berusia 33 tahun untuk menguatkan cabaran mereka yang malap setakat ini.
Dengan kedua-duanya adalah nama penting dalam skuad kebangsaan Palestin, pastinya menarik untuk menyaksikan aksi mereka menentang Jordan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 di Kuala Lumpur 10 September ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram