
PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi melangkah tahun 2025 dengan kejayaan apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, Amerika Syarikat (AS), pada Jumaat.
Azeem, 21, yang mewakili Universiti Auburn mencatat masa 6.60 saat (s) di peringkat separuh akhir, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan 6.62s yang dilakukannya pada kejohanan sama dua tahun lalu.
Terdahulu pada aksi saringan, pemegang rekod 100m kebangsaan itu mencatatkan masa 6.62s sebelum memperbaiki catatan berkenaan di separuh akhir.
BACA LAGI: [VIDEO] Suka lah saya tak bertanding — Hamidin Mohd Amin
“Selepas dua tahun, kita kembali ke landasan sebenar. Alhamdulillah, rekod kebangsaan,” ciapnya di InstaStory peribadinya pada Sabtu.
Dia bagaimanapun tidak turun beraksi di peringkat akhir kejohanan berkenaan.
Selain Azeem, lima lagi peserta turut menarik diri daripada aksi final, dengan pingat emas menjadi milik Adekalu Fakorede dari Universiti Mississippi State, manakala perak dimenangi atlet Universiti Southern California, Travis Williams.
Meskipun terlepas aksi di peringkat akhir, pencapaian itu cukup memberangsangkan selepas hampir dua tahun Azeem menanti untuk memecahkan rekod kebangsaan dan peribadinya.
Azeem kini dalam misi untuk kekal dalam kedudukan 16 pelari pecut terbaik untuk layak ke final Kejohanan Persatuan Olahraga Berkolej Kebangsaan (NCAA) bulan depan.
Pencapaian terbaharu itu sekali gus menjadi pendorong besar buatnya untuk musim yang padat, termasuk Kejohanan Trek dan Padang Gumi di Korea Selatan, Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo dan Sukan SEA di Thailand akhir tahun ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram