[VIDEO] 'Macam dah kena rasuk', lelaki bawa parang mengamuk libas orang di Johor Bahru


  • Tular
  • Khamis, 13 Feb 2025

Tangkap layar insiden keganasan membabitkan seorang lelaki berparang di Johor Bahru pada Khamis.

SATU insiden keganasan berlaku membabitkan seorang lelaki yang bertindak melibas dan menetak parang ke atas seorang lagi individu di Johor Bahru, Johor pada Khamis.

Kejadian dipercayai di Merlin Tower itu berlaku apabila pelaku yang berbaju dan berseluar hitam itu meluru ke arah mangsa sambil mengayunkan sebilah parang di bahagian lehernya.

Menyedari situasi itu, mangsa dilihat cuba mengelak dan melawan menggunakan kerusi plastik yang kemudiannya tercampak selepas beberapa kali diserang pelaku.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah tak pantau ketika bermain, ibu cemas lihat anak hampir 'biru' terjerut tali

BACA LAGI: [VIDEO] Warga emas 'ditelan' bumi, penutup lubang saliran kedai tiba-tiba pecah di Seremban

Tidak dihentikan sesiapa, pergaduhan tersebut disaksikan ramai orang awam yang jelas kelihatan takut untuk mendekati pelaku yang bagai dirasuk ketika kejadian.

Mangsa yang ditikam beberapa kali kelihatan cedera parah selepas mengalami pendarahan di bahagian leher dan badan.

Dirakamkan oleh saksi kejadian, insiden terbabit dikongsikan di laman sosial dan meraih perhatian warga maya.

Dalam pada itu, jeritan pertolongan jelas kedengaran daripada seorang individu yang meminta bantuan usai kejadian tersebut.

Difahamkan, orang awam membantu untuk 'menumbangkan' suspek terbabit.

Mangsa yang berlumuran darah kelihatan cuba bangun sebelum dibantu beberapa individu dan dipercayai telah diberikan rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, kejadian berlaku pada pukul 2.52 petang Selasa menyebabkan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

"Suspek berjaya diberkas orang awam sebelum diserahkan kepada polis. Siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram