[VIDEO] Lepas kerap menyakat rakan, Safawi pula jadi mangsa usikan bek Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Tangkap layar video usikan yang dimuat naik Safwan Mazlan di TikTok peribadinya.

SELAIN ligat beraksi di atas padang, Safawi Rasid sememangnya dikenali sebagai pemain dengan karakter menceriakan di luar padang, lebih-lebih lagi ketika melaporkan diri dalam skuad kebangsaan.

Pemain sayap kelahiran Terengganu itu sebelum ini pernah tular apabila dia mengusik rakan sepasukannya, Mohamadou Sumareh dan Aidil Zafuan Abdul Radzak di lobi sebuah hotel pada 2018.

Kehadiran seseorang dengan gaya sebegitu sememangnya diperlukan kerana ia dapat mengurangkan tekanan dalam bilik persalinan selain merapatkan hubungan antara satu sama lain.

BACA LAGI: 'Takda idea, gila publisiti', Safawi Rasid mahu saman berita fitnah kononnya meninggal dunia

BACA LAGI: Bintang JDT kagum, fans Terengganu berangan trio A.C.S lepas Chanatip muat naik gambar Safawi, Akhyar

Tetapi, meskipun kerap bergurau senda di luar padang, Safawi masih disegani kerana dia kerap memberikan persembahan 100 peratus setiap kali diberikan peluang di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

Namun, selepas beberapa tahun sepi tanpa usikan sedemikian, bekas Pemain Paling Bernilai (MVP) itu kembali tular apabila dia pula menjadi 'mangsa' gurauan oleh rakan sepasukan.

Ini setelah Safawi muncul dalam video TikTok dimuat naik pertahanan Terengganu FC, Safwan Mazlan ketika kedua-dua mereka menginap di sebuah hotel dipercayai ketika merantau bersama skuad Sang Penyu.

Rakaman berdurasi 20 saat itu memaparkan Safwan menunggu kapten pasukannya itu di luar bilik sebelum memeranjatkan pemain sayap berkenaan yang memakai kain pelikat serta jaket kelab.

476827977_616061627801942_6821968962884146432_n

Safawi merupakan bintang utama skuad Sang Penyu musim ini. Facebook/Terengganu FC

Tindakan bek tengah Sang Penyu tersebut menyebabkan Safawi terkejut sebelum gelak tawa kedua-dua tonggak pasukan Pantai Timur itu memenuhi lobi hotel berkenaan.

Gurauan mereka sekali gus menceritakan keharmonian dalam skuad Sang Penyu yang membolehkan mereka menduduki tangga keempat Liga Super selain layak ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.

Malah, hubungan sedemikian menceritakan keterbukaan Terengganu FC terhadap penyerang sayap berkenaan dengan terdapat harapan khidmatnya dapat dikekalkan selepas dia hanya tiba secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Impak Safawi di atas padang juga bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana dalam 24 penampilan di peringkat domestik, pemain terbabit sudah mencatatkan 10 jaringan.

Jadi, dengan khidmatnya berkemungkinan kurang ditagih dalam skuad Harimau Selatan, Terengganu FC berpeluang mengekalkan khidmatnya musim depan di samping seorang lagi bekas bintang kelab Selatan tanah air itu, Akhyar Rashid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram