[VIDEO] 'Hype' sebelum jumpa JDT, 4 ex Central Coast Mariners termasuk Wenzel-Halls pernah warnai Liga M


  • Podium
  • Selasa, 11 Feb 2025

Zachary pernah beraksi untuk Central Coast Mariners dari 2012 hingga 2015. — Agensi

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) dalam misi penting untuk membawa cabaran negara untuk terus beraksi di pentas Asia dengan membawa masuk tiga bintang baharu Sepanyol.

Harimau Selatan membawa masuk Jonathan Viera, Roque Mesa dan Alvaro Gonzales untuk memperkuatkan skuad kendalian Hector Bidalgio dengan ujian pertama berdepan Central Coast Mariners di Australia.

Bercakap mengenai Central Coast Mariners, kelab Australia itu tidak lagi asing dengan Malaysia kerana pernah menentang Terengganu FC sebelum bertemu JDT di Piala AFC pada tahun lalu.

BACA LAGI: Ibu kongsi cerita, pemain warisan Malaysia keturunan kerabat Diraja Pahang

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Budak-budak sekarang melawan saja’, hasrat Amri Yahyah turun ilmu ambil sepakan penalti tak dihargai

Selain itu, beberapa bekas pemain Central Coast Mariners juga pernah dan sedang beraksi dalam Liga Malaysia sehingga ada yang berjaya membuktikan diri mereka di negara ini.

Majoriti senaraikan bekas empat pemain Central Coast Mariners yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia:

1. Zachary Anderson

Zachary Anderson seorang pertahanan tengah Australia pernah beraksi untuk Central Coast Mariners dari 2012 hingga 2015.

Sepanjang tempoh itu, Zachary membuat 67 penampilan dalam A-League, menjaringkan satu gol, dan turut serta dalam 11 perlawanan Liga Juara-Juara Asia (kini dikenali sebagai ACLE)

Bekas pemain Australia itu merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi A-League Premiership pada musim 2011/12 dan A-League Championship pada musim 2012/13.

Untuk rekod, Zachary pernah beraksi bersama Kedah FA, PKNS FC dan Perak FC sebelum kembali ke Australia dan mengumumkan persaraanya pada 2022 untuk fokus kepada perniagaan.

2. Antony Golec

Antony Golec menyertai Central Coast Mariners pada Mei 2017 dengan menandatangani kontrak selama satu tahun.

Bekas pemain berusia 35 tahun itu membuat 31 penampilan dalam A-League untuk Mariners sepanjang musim 2017/18 dan 2018/19.

Pada April 2018, dia melanjutkan kontraknya untuk satu tahun tambahan.

Namun, pada Januari 2019, Golec dilepaskan daripada Mariners dan kemudiannya menandatangani kontrak dengan Wellington Phoenix untuk baki musim tersebut.

Sepanjang kerjayanya, dia beraksi untuk beberapa kelab, termasuk Sydney FC, Adelaide United, Western Sydney Wanderers dan Perth Glory dalam A-League.

Golec juga beraksi di luar negara dengan kelab seperti Sheriff Tiraspol (Moldova), Badak Lampung (Indonesia), Perak FC (Malaysia), Persepolis (Iran) dan Bucheon FC 1995 (Korea Selatan).

Golec turut menjadi sebahagian daripada skuad Western Sydney Wanderers yang menjuarai ACL pada 2014.

Selepas bersara daripada bola sepak profesional pada Julai 2022, dia beralih kerjaya sebagai ejen hartanah di bahagian barat dalam Sydney, Australia.

3. Giancarlo Gallifuoco

Giancarlo Gallifuoco menyertai Central Coast Mariners pada Mei 2019 dengan menandatangani kontrak selama dua tahun.

Sepanjang tempohnya di kelab itu, Gallifuoco hanya melakukan 10 penampilan dalam A-League dan menjaringkan satu gol.

Pada Januari 2020, Mariners mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan Gallifuoco untuk pelepasan serta-merta, kerana dia mencari peluang dengan kelab yang bertanding dalam ACL.

Sepanjang kerjayanya, Gallifuoco telah menjadi sebahagian daripada beberapa pasukan berjaya, termasuk memenangi Professional Development League 2 bersama Swansea City pada musim 2014/15, merangkul Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur City pada 2021 dan mara ke perlawanan akhir Piala AFC pada 2022.

4. Dylan Wenzel-Halls

Dylan Wenzel-Halls menyertai Central Coast Mariners pada Januari 2023 dengan menandatangani kontrak sehingga penghujung musim 2024/25.

Sepanjang tempohnya di kelab itu, Wenzel-Halls membuat 12 penampilan dan menjaringkan tiga gol.

Dia merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Kejuaraan A-League Men pada musim 2022/23, menyumbang kepada kemenangan 6-1 pasukan dalam perlawanan Akhir menentang Melbourne City.

Pada September 2024, Wenzel-Halls meninggalkan Mariners untuk mencari peluang di luar negara dan kemudiannya menyertai kelab Liga Super Malaysia, Penang FC.

Aksi Central Coast Mariners berdepan JDT bakal berlangsung pada Selasa, 11 Februari di tempat lawan dengan sepak mula pukul 4 petang waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram