
PELUANG Terengganu FC menamatkan penantian kejuaraan musim ini terpadam selepas mereka mengalami kekalahan dalam aksi penutup peringkat kumpulan Piala Shopee kepada BG Pathum United.
Keputusan 3-4 dialami di Thailand itu menyaksikan kelab Pantai Timur berkenaan tersingkir daripada kejohanan peringkat Asia Tenggara yang julung kali dianjurkan itu.
Jadi, bagi mengubati kekecewaan tersebut, skuad Sang Penyu pasti mahu mengerah kudrat sebaik mungkin dalam saingan Liga Super dengan terdapat tujuh baki perlawanan perlu diharungi.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah bahan Harimau Malaya, KL City mangsa baharu drama Chatchai Budprom
BACA LAGI: Label KL City setanding kelab divisyen 3 Thailand, skuad Warga Kota ikut TFC balik kampung
Skuad Sang Penyu merekodkan kemenangan ketika berdepan KL City FC pada awal musim lalu. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun tahu peluang untuk menamatkan saingan di kedudukan dua teratas adalah tipis, pasukan tersebut pasti bercita-cita besar menduduki kelompok tiga pasukan teratas.
Bagaimanapun, bagi merealisasikan hasrat terbabit, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu terlebih dahulu perlu meraih tiga mata penuh dalam aksi seterusnya berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri pada Jumaat.
Rekod musim ini sememangnya berpihak kepada Terengganu FC yang meraih kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Cheras, KL dengan rentak itu pasti mahu diteruskan.
Tetapi, sekiranya mereka mahu merekodkan kemenangan kelapan dalam liga, tiga tonggak skuad Warga Kota dalam posisi masing-masing perlu diawasi sepanjang 90 minit permainan.
1. Brendan Gan
Sejak menyertai KL City FC pada awal musim lalu, Brendan Gan berjaya membawa perubahan besar terhadap pasukan menggunakan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki di atas padang.
Mengikut rekod setakat ini, pemain warisan negara itu sudah mencatatkan tiga gol dan satu bantuan jaringan dalam 17 penampilan secara keseluruhan dengan ia menjadikannya tonggak utama pasukan.
Walaupun sudah berusia 37 tahun, dia kelihatan masih bersemangat, baik dari segi serangan mahupun pertahanan yang menceritakan kepentingan boleh dibawanya buat skuad Warga Kota.
Brendan Gan masih belum diturunkan sejak mengalami kecederaan. — Facebook/KL City FC
Jadi, dalam memastikan Brendan Gan tidak membawa impak besar terhadap perlawanan, barisan kejurulatihan Terengganu FC perlu mengekang pergerakannya selain mengurangkan peluangnya menerima hantaran rakan sepasukan.
Bagaimanapun, kelegaan masih berpihak kepada skuad Sang Penyu kerana laporan semasa mengatakan pemain Harimau Malaya itu masih dirundung isu kecederaan yang dialami semasa berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala Malaysia.
2. Paulo Josue
Sesuatu yang menarik untuk disaksikan musim ini kerana kapten KL City FC, Paulo Josue kini menduduki tangga kedua dalam carta penjaring terbanyak Liga Super selepas mencatatkan 11 gol.
Lebih menakjubkan lagi, hampir kesemua daripada jaringan pemain itu hadir daripada situasi bola mati, termasuk sepakan percuma yang sekali gus meletakkannya dalam senarai legenda pasukan.
Sekiranya prestasi menakjubkan tersebut berjaya diteruskan, tidak mustahil pemain Harimau Malaya itu akan memikul sandaran pasukannya untuk memburu jaringan ketika berdepan Terengganu FC.
Paulo merupakan penjaring terbanyak skuad Warga Kota musim ini. — Facebook/KL City FC
Meskipun skuad Sang Penyu tidak mengalami sebarang masalah dari segi pertahanan musim ini, mereka masih perlu mencari cara untuk menghalang Paulo daripada berada dalam zon jaringan.
Tidak cukup dengan itu, benteng pasukan tuan rumah juga tidak boleh terburu-buru dalam melakukan asakan kerana kapten KL City FC itu boleh mencetak jaringan daripada situasi bola mati seperti mana dinyatakan di atas.
3. Jovan Motika
Rekod jaringan penyerang import KL City FC, Jovan Motika tidaklah begitu baik bersama skuad Warga Kota musim ini memandangkan dia hanya mencetak empat gol Liga Super selepas 16 perlawanan.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Bosnia-Herzegovina itu perlu diawasi barisan pertahanan Terengganu FC kerana dia memiliki kepantasan serta ketahanan badan untuk mencipta peluang.
Selain itu, tumpuan perlu diberikan kepada tonggak import kelab Lembah Klang itu memandangkan dia mempunyai persefahaman baik dengan pemain lain dalam barisan serangan kerana sudah terlalu kerap beraksi.
Motika masih perlu diawasi meskipun rekod jaringan tidaklah begitu baik. — Facebook/KL City FC
Jika ruang masih diberikan kepadanya, terdapat kemungkinan gawang skuad Sang Penyu akan terdedah ketika masing-masing memberikan tumpuan kepada Paulo atau Haqimi Azim Rosli.
Oleh itu, bagi memastikan Motika tidak membawa impak besar, bek kanan tuan rumah, Azam Azmi Murad perlu mengekangnya sepanjang berada di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram