
KEKALAHAN dialami Negeri Sembilan FC ketika berdepan Terengganu FC di laman sendiri pada Ahad lalu menyaksikan mereka kini sudah 13 kali pulang dengan tangan kosong dalam saingan Liga Super 2024/25.
Ini sekali gus menyaksikan skuad Jang berada di kedudukan kedua tercorot selepas hanya mengutip sembilan mata dengan peluang untuk memperbaiki posisi dalam carta sudah semakin tipis.
Situasi itu sememangnya sukar untuk ditelan penyokong pasukan yang mengharapkan perubahan selepas pelbagai usaha dibuat pihak pengurusan menjelang musim 2024/25.
BACA LAGI: Masih percaya kudrat K. Nathakumar, CEO Negeri Sembilan nafi Nidzam Jamil kemudi The Jangs
BACA LAGI: Jika benar mahukan Nidzam Jamil, TFC perlu 'ikat' sebelum Piala Malaysia
K Nanthakumar merupakan pengendali semasa skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Selain membawa masuk individu baharu dalam barisan kepimpinan kelab, Negeri Sembilan FC turut membuat perubahan terhadap barisan kejurulatihan dengan melantik Azzmi Aziz selepas menggugurkan K Devan.
Bagaimanapun, kehadiran bekas pengendali Kedah dan PDRM FC itu tidak membuahkan hasil kerana beberapa bulan selepas kempen bermula, dia digugurkan dan digantikan dengan K Nanthakumar.
Perubahan itu sekali lagi gagal membuahkan hasil memandangkan skuad Jang masih bergelut untuk mencatatkan sebarang keputusan positif dengan mereka kini hanya merekodkan dua kemenangan Liga Super.
Jadi, bagi mengubah nasib pasukan sepenuhnya musim depan, pasukan itu dijangka membawa masuk ketua jurulatih lebih berkaliber dengan nama Nidzam Jamil antara yang kerap disebut-sebut kebelakangan ini.
Sejak digugurkan Selangor FC, pengendali berusia 44 tahun terbabit sudah berkali-kali kelihatan menonton perlawanan secara langsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Nidzam Jamil ketika menyaksikan perlawanan antara Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC. — Facebook/State of Nine FC
Malah, ketika skuad Jang mengalami kekalahan di tangan Terengganu FC, jurulatih kelahiran Kajang, Selangor itu sekali lagi kelihatan menjadi penonton yang hanya membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai keberadaannya.
Perkara tersebut dikongsikan di laman penyokong Negeri Sembilan FC, State of Nine FC yang memuat naik sekeping gambar memaparkan Nidzam hadir bersama seseorang dipercayai rakannya.
Namun, meskipun pernah menimba pengalaman dalam Liga Super, ada pula beranggapan pelantikannya tidak akan membuahkan hasil seperti mana diharapkan sebahagian besar penyokong.
"Saya ingatkan (Datuk) Ong Kim Swee. Jika Nidzam Jamil baik tak perlu kerana semua yang meminatinya adalah mereka yang kerap dengan gaya dan taktikal permainan hantaran jauh.
Nidzam ketika mengendalikan Felda United dalam Liga Super. — Facebook/Felda United FC
"Pilih betul-betul wahai pihak pengurusan, jangan tangkap muat sahaja. Kalau dapat jurulatih dari Jepun atau Korea Selatan yang faham akan falsafah bola sepak moden lebih baik," kata Muhammad Deen.
Sepanjang karier kejurulatihannya, Nidzam hanya beberapa musim menimba pengalaman dalam Liga Super, iaitu ketika bersama Felda United sebelum dilantik Selangor FC awal musim lalu.
Malah, ketika bersama skuad Gergasi Merah, dia berjaya membuktikan kebolehannya dengan membawa pasukan itu kekal di kedudukan kedua Liga Super selain beraksi cemerlang dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Namun, tempohnya bersama kelab Lembah Klang itu tidak berpanjangan kerana pada Oktober lalu, dia digugurkan dengan kekalahan memalukan 1-6 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA antara punca keputusan itu diambil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram