
PELUANG kembali terbuka kepada Arsenal untuk merebut takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Liverpool hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Everton.
Bagaimanapun, nasib buruk secara tiba-tiba melanda skuad The Gunners apabila penyerang utama mereka, Kai Havertz mengalami kecederaan hamstring ketika menjalani sesi latihan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut laporan terkini, pemain antarabangsa Jerman itu terpaksa melupakan baki musim 2024/25 dengan ia merupakan satu berita buruk buat Arsenal yang kini tujuh mata di belakang Liverpool.
BACA LAGI: Tugas 'interim' selesai, Van Nistelrooy tinggalkan Man United
BACA LAGI: Sekalipun dah ada pengganti ten Hag, van Nistelrooy berkeras mahu kekal bersama Man United
Van Nistelrooy masih bergelut dalam mengendalikan Leicester City. — Agensi
Situasi dialami Havertz turut menyaksikan skuad bimbingan Mikel Arteta kehilangan beberapa tonggak utama pasukan selepas Gabriel Martinelli, Bukayo Saka dan Gabriel Jesus mengalami masalah kecederaan sebelum ini.
Ketiadaan pemain dalam jentera serangan The Gunners sudah tentu meranapkan impian mereka untuk meneruskan momentum dalam EPL dengan aksi menentang Leicester City pada Sabtu akan menjadi ujian terbaru pasukan.
Namun, bagi pengurus The Foxes, Ruud van Nistelrooy, kemelut kecederaan dialami Arsenal bukanlah peluang bagi pasukannya meraih kemenangan dalam perlawanan di laman sendiri itu nanti.
"Saya boleh katakan terdapat perbezaan ketara antara kami dan Arsenal, ia boleh dilihat menerusi kedudukan dalam carta. Mereka sedang mengejar takhta EPL dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), jadi ia adalah cabaran bagi kami," katanya.
Arsenal kerap memanfaatkan peluang daripada situasi bola mati. — Agensi
Legenda Manchester United tersebut masih belum membawa impak buat pasukannya sejak dilantik pada November lalu dengan hanya dua kemenangan EPL direkodkan dalam 11 perlawanan.
Rekod kurang memuaskan itu menyaksikan Leicester City masih berada dalam zon penyingkiran dengan dua mata diperlukan sekiranya mereka mahu memintas Wolverhampton Wanderers yang menduduki tangga ke-17.
Jelas van Nistelrooy lagi, Arsenal boleh memburu jaringan menerusi situasi bola mati kerana mereka sudah mencatatkan 10 jaringan daripada peluang tersebut dengan ia merupakan rekod tertinggi musim ini.
"Mereka menggunakan peluang daripada situasi itu dengan cukup baik. Jika dilihat secara meluas dalam sukan bola sepak, termasuk dalam saingan EPL, terdapat perubahan mengenai kebergantungan terhadap situasi bola mati.
"Masa yang diluangkan bagi perkara ini semakin meningkat kerana ia boleh menentukan sesebuah perlawanan dan saya boleh katakan Arsenal cemerlang dalam hal itu," katanya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram