Liverpool raih untung VAR silap 13 kali musim 24/25, Man United 'terpaling' mangsa


  • Podium
  • Khamis, 06 Feb 2025

Perlawanan antara Manchester United bertemu Tottenham Hotspur pada 29 September lalu turut dicemari dengan kesilapan teknologi tersebut.  

LIGA Perdana Inggeris mendedahkan keputusan separuh pasukan telah terjejas oleh kesilapan video bantuan pengadil (VAR) bagi musim 2024/25 dengan Manchester United paling terkesan.

United tidak mendapat manfaat daripada keputusan yang salah sama seperti Brentford, sementara Arsenal dan West Ham turut dibebani kesilapan VAR.

Sebaliknya, Liverpool dan Tottenham Hotspur mendapat manfaat daripada kesilapan VAR tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Sakit hati Piala Malaysia belum berakhir, fans Sabah bongkar 2 insiden kontroversi aksi bertemu Tok Gajah

BACA LAGI: [VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan

Keputusan itu ditentukan oleh panel insiden perlawanan utama (KMI) liga yang terdiri daripada tiga bekas pemain, seorang wakil Liga Perdana dan seorang ahli daripada Pegawai-Pegawai Perlawanan Profesional Berhad (PGMOL).

Ketua Pegawai Hal Ehwal Bola Sepak, Tony Scholes mengesahkan jumlah kesilapan VAR turun kepada 13 berbanding 20 musim lalu, dengan masa semakan purata kini 40 saat, namun mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki.

Liverpool

Kesilapan VAR beri manfaat kepada Liverpool untuk meraih kemenangan besar 5-0 ke atas West Ham.

Sebagai contoh, salah satu kesilapan besar berkaitan teknologi itu adalah ketika Liverpool meraih kemenangan besar 5-0 ke atas West Ham dalam aksi yang berlangsung pada 29 Disember lalu.

Liverpool mendahului aksi dengan keputusan 1-0 apabila pemain tengah The Reds, Alexis Mac Allister terlepas daripada sebarang tindakan meskipun melakukan kekasaran di dalam kotak penalti.

Lima minit kemudian, penyerangnya, Cody Gakpo menggandakan kedudukan pelawat dan Liverpool terus menguasai permainan sekali gus mencatat kemenangan besar yang masing-masing dicetak oleh Luis Diaz, Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold dan Diogo Jota di Stadium London.

Sementara itu, perlawanan antara Manchester United bertemu Tottenham Hotspur pada 29 September lalu turut dicemari dengan kesilapan teknologi tersebut.

Dalam aksi tersebut, kapten The Red Devils, Bruno Fernandes dilayangkan kad merah selepas dikesan melakukan kekasaran ke atas James Maddison pada babak kedua permainan.

Keputusan itu jelas mengundang padah buat Manchester United yang mengalami kekalahan 0-3 dengan keputusan pengadil tersebut hanya ditarik balik beberapa hari selepas perlawanan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram