SELEPAS mengendalikan Manchester United sementara, legenda kelab, Ruud van Nistelrooy meninggalkan The Red Devils.
Keputusan itu dilakukan untuk membolehkan pengendali baharu, Ruben Amorim mengambil alih kelab selepas tempoh rehat bola sepak antarabangsa.
Memetik laporan di England, Van Nistelrooy tidak akan menyertai barisan kejurulatihan Amorim sebagai pembantu.
BACA LAGI: Ruben Amorim mahu beli semula pemain buangan Ten Hag
"Van Nistelrooy akan sentiasa menjadi legenda Manchester United," kata kelab itu dalam satu kenyataan.
"Kami beruntung dengan sumbangan dan cara dia mengendalikan tugasnya sepanjang masanya di kelab. Kehadirannya akan sentiasa dialu-alukan di Old Trafford."
Selain Van Nistelrooy, tiga lagi staf iaitu pembantu, Rene Hake, jurulatih penjaga gol Jelle ten Rouwelaar dan penganalisis, Pieter Morel turut meninggalkan kelab.
Secara tak langsung, ia menamatkan segala legasi pengendali terdahulu iaitu Erik ten Hag di kelab apabila Amorim memaklumkan akan membawa semua stafnya dari Kelab Sporting ke United.
Sebelum ini, Van Nistelrooy dilantik sebagai pembantu kepada Ten Hag di mana kepulangannya ke Old Trafford mendapat sambutan baik dalam kalangan penyokong United kerana statusnya sebagai legenda kelab.
Reputasinya semakin baik apabila mengendalikan United secara sementara terutama apabila kelab itu tidak tewas dalam kejohanan piala dan liga. Malahan, Van Nistelrooy menamatkan tugasnya ketika The Red Devils menang 3-0 ke atas Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Amorim akan tiba selepas tempoh rehat bola sepak antarabangsa dengan tugasan pertamanya adalah aksi liga bertemu Ipswich Town. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram