[VIDEO] Sengaja siku bintang Spurs, van Dijk bernasib baik tak dibuang padang


  • Podium
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Van Dijk (kanan) dan Richarlison berperang mulut selepas insiden itu berlaku pada awal permainan. — Agensi

LIVERPOOL berjaya kembali menghidupkan hasrat menjulang empat trofi di pentas domestik dan Eropah musim ini apabila bangkit daripada kekalahan untuk menyingkirkan Tottenham Hotspur di pusingan separuh akhir Piala Liga 2024/25.

Selepas tewas dalam pertembungan pertama pada 9 Januari lalu, anak-anak buah Arne Slot memanfaatkan aksi timbal balik pada Jumaat di laman sendiri dengan membuka jaringan pada minit ke-34 menerusi Cody Gakpo.

Kebangkitan sebenar bagaimanapun disaksikan pada masa kedua perlawanan apabila skuad The Reds menjaringkan tiga lagi gol menerusi Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai serta Virgil van Dijk.

BACA LAGI: Skuad emas Liverpool hampir tamat, Van Dijk pula dipancing sertai Trent ke Real Madrid

BACA LAGI: Van Dijk bengang, anggap 'wonderkid' Spurs patut dibuang padang sebelum jaringkan gol kemenangan Tottenham

Jaringan demi jaringan yang dicatatkan di hadapan penyokong sendiri itu menyaksikan Liverpool merekodkan kemenangan dengan empat gol tanpa balas, sekali gus menyaksikan mereka mara menerusi agregat 4-1.

Namun, di sebalik keputusan selesa itu, ramai beranggapan terdapat isu pengadilan yang berbangkit, termasuk pada awal permainan yang melibatkan van Dijk serta penyerang Tottenham Hotspur, Richarlison.

Pada minit keempat permainan, kedua-dua pemain itu sedang berusaha merebut bola di tengah padang sebelum kapten skuad antarabangsa Belanda tersebut didapati menyiku wajah pihak lawan.

Meskipun penyerang pasukan pelawat tersebut tampil melakukan protes ke atas kesalahan itu, pengadil perlawanan, Craig Pawson tidak mengambil sebarang tindakan dengan pegawai video bantuan pengadil (VAR) turut berpendapat sedemikian.

Pengulas bertugas, Ally McCoist berasakan van Dijk bernasib baik kerana tidak dibuang padang memandangkan pegawai bertugas beranggapan kekasaran itu dibuat, namun tidak sehingga ke tahap layangan kad merah boleh diberikan.

WhatsApp Image 2025-02-07 at 2.45.19 PM (1)

McCoist percaya hukuman lebih berat boleh diberikan terhadap van Dijk. — Agensi

"Saya boleh katakan sikunya mengenai wajah Richarlison, mungkin hanya mengenai dagunya tetapi mungkin pihak pengadilan akan membuat semakan. Saya berasakan dia tidak menerima hukuman berat kerana sikunya tidak tepat di wajah pihak lawan," katanya.

Walaupun pelbagai pihak berasakan keputusan pengadil adalah tepat, penyokong Tottenham sudah tentu berasa sebaliknya kerana van Dijk kerap bernasib baik dalam situasi sedemikian.

Lebih mengecewakan lagi, bek tengah Liverpool itu turut memberikan impak besar dalam perlawanan apabila menjaringkan gol keeempat buat tuan rumah, sekali gus menutup peluang Spurs untuk ke pentas akhir Piala Liga.

Skuad The Reds berpeluang mempertahankan gelaran tersebut dengan mereka akan bertemu Newcastle United yang melayakkan diri ke pentas akhir selepas menyingkirkan Arsenal pada Khamis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram