PERMULAAN membanggakan disaksikan Ruud van Nistelrooy bersama Manchester United apabila mereka membenam Leicester City 5-2 di laman sendiri dalam aksi pusingan 16 pasukan Piala EFL pada Khamis.
Dua gol daripada Casemiro dan Bruno Fernandes sementara satu lagi disumbangkan Alejandro Garnacho menyaksikan skuad The Red Devils melangkah ke peringkat suku akhir.
Keputusan itu sudah tentu amat disenangi jurulatih kelahiran Belanda tersebut yang mengisi jawatan itu secara sementara berikutan pemecatan Erik ten Hag.
BACA LAGI: Sebelum 'dirisik' Man United, Amorim rupanya pernah ditolak Liverpool sebab formasi
Amorim dikatakan calon utama pengurus Manchester United selepas ini. — Agensi
Namun, harapannya untuk menyandang tugas berkenaan secara kekal kelihatan mustahil kerana laporan ketika ini mengatakan Manchester United sudah mempunyai calon tersendiri.
Ruben Amorim yang ketika ini bersama Sporting CP disebut-sebut sudah semakin hampir untuk bergelar pengurus skuad The Red Devils selepas khabar angin kuat berlegar di media sosial.
Jadi, sekiranya pengendali kelahiran Portugal itu dilantik, nasib van Nistelrooy bersama kelab lamanya itu pasti akan berbeza dengan Amorim pasti mempunyai barisan kejurulatihan dipercayainya.
Tetapi, baru-baru ini, van Nistelrooy tampil menegaskan dia enggan meninggalkan Manchester United dan mahu kekal bersama mereka selama mana yang mungkin.
Ten Hag (kanan) sebelum ini melantik van Nistelrooy sebagai pembantunya. — Agensi
"Sudah tentu, saya hadir sebagai pembantu jurulatih. Jadi, dengan saya kini memegang jawatan pengurus sementara, saya hendak memberi bantuan seperti mana diharapkan.
"Pada masa akan datang, saya bersedia untuk mencurah khidmat demi masa depan pasukan, itulah sebabnya saya berada di sini. Perasaan sememangnya sedikit bercampur-baur ketika pemain melaporkan diri berikutan pemecatan Ten Hag.
"Dia yang meminta saya untuk menjadi pembantu dan sejak awal lagi, saya sudah dapat berasakan keazamannya buat pasukan ini. Jadi, agak sedih bagi saya melihatnya pergi," katanya selepas perlawanan.
Meskipun Manchester United dilaporkan sudah hampir mendapatkan khidmat Amorim, sentuhan van Nistelrooy masih ditagih menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Chelesa dan PAOK dalam Liga Europa UEFA.
Sekiranya meraih keputusan positif, kelab tersebut sudah tentu tidak akan teragak-agak untuk memberikannya sebarang peranan, baik dalam dunia kejurulatihan mahupun pengurusan.
Kemenangan dilakar The Red Devils dalam Piala EFL menyaksikan mereka menempah slot ke suku akhir dengan Tottenham Hotspur diundi sebagai cabaran dalam pusingan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram