
KEDAH Darul Aman (KDA) FC dikenali sebagai pasukan penuh bersejarah dalam arena Liga Malaysia susulan skuad Hijau Kuning menjadi antara yang akan memberi saingan sengit untuk memburu apa-apa kejuaraan.
Musim bersilih ganti, 2021 menjadi tahun terakhir yang menggembirakan penyokong lantaran ketika itu pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan berhasil menghuni tempat kedua Liga Super dan menjadi naib juara Piala Sumbangsih.
Memasuki tahun 2022, bermulalah zaman kejatuhan empayar skuad Sang Kenari apabila hanya menghabiskan musim berkenaan di tangga kelapan dan nasib buruk terus bersambung pada tahun berikutnya.
BACA LAGI: [VIDEO] DNA Kedah sudah kembali, fans Sang Kenari puji persembahan bakat muda
BACA LAGI: Dua kali saat akhir jadi pemusnah Kedah, pengadil jadi sasaran penyokong
Tidak cukup dihimpit dengan masalah atas padang, Kedah diuji pula dengan masalah kewangan yang amat berat apabila pada penghujung musim 2023 menyaksikan kegagalan pihak pengurusan untuk membayar gaji.
Kemelut kewangan terus melekat sehingga kini apabila ia membuka pintu kepada masalah lain seperti isu pemain memboikot sesi latihan, bintang import meninggalkan pasukan dan kehilangan jurulatih utama, Nafuzi Zain yang kini menjadi pengendali pasukan Bawah 23 Tahun negara.
Selain masalah kewangan dialami mereka, terdapat tiga faktor lain membuatkan bekas pemenang Piala Malaysia 2016 itu wajar menerima gelaran 'Pasukan Paling Tersakiti' untuk saingan musim 2024/2025.
1) Pemain senior tak nampak batang hidung
Syafiq setakat ini sudah mencetak dua gol buat KDA FC setakat ini. — Facebook/KDAFC
Sejak masa depan semakin tidak kelihatan untuk mendapatkan penaja, beberapa pemain Sang Kenari membuat tindakan dengan memboikot sesi latihan pada Oktober lepas sebagai respons protes kepada pihak pengurusan.
Tindakan itu hanya berlaku sekali namun beberapa dua pemain senior yang sering diturunkan sebagai kesebelasan utama sejak awal musim tidak kelihatan dalam lima aksi terakhir pasukan Hijau Kuning.
Pemain berkenaan ialah Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali. Batang hidung dua pemain senior itu tidak kelihatan pada aksi penting Kedah menentang PDRM FC, yang menyaksikan Sang Kenari tewas 4-5 (penentuan sepakan penalti) kepada The Cops dan gagal ke final Piala Cabaran.
Kali terakhir nama Syafiq disenaraikan sebagai pemain simpanan pada aksi pertama separuh akhir menentang The Cops (18 Januari) dan kemenangan 1-0 kepada Kelantan Darul Naim untuk saingan Liga Super. Tiga aksi sebelumnya tidak tersenarai.
Manakala, Rizal Ghazali yang beraksi sebagai bek kanan pula kali terakhir disenaraikan sebagai pemain gantian ketika kemenangan tipis 1-0 kepada Penang FC pada 18 Disember lepas bagi saingan Liga Super.
2) Dua gol saat akhir ketika semi final lawan PDRM FC
Impian skuad Sang Kenari untuk mara ke pusingan akhir Piala Cabaran 2024 tidak kesampaian selepas tewas kepada sepakan penalti 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Aksi penuh elemen kejutan itu menyaksikan perlawanan diheret hingga ke penentuan sepakan penalti apabila masing-masing terikat dengan jaringan 1-1 selepas berhempas pula pada 90 minit permainan dan 30 minit masa tambahan.
Pasukan kendalian Victor Andrag pada awalnya sudah yakin akan mara ke pentas final menerusi jaringan tunggal Amirul Hisyam Awang Kechik namun Shafizi Iqmal muncul wira PDRM dengan gol penyamaan pada saat akhir masa kecederaan.
Penderitaan Kedah bersambung apabila di aksi penentuan sepakan penalti, gol saat akhir memusnahkan Kedah selepas bek kanan Kedah, Wan Amirul Afiq gagal menyempurnakan sepakan penalti. Sekali gus, mengesahkan kemenangan milik The Cops.
Dua gol saat akhir itu menjadikan Kedah terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya mencipta satu kenangan manis buat penyokong setia skuad Hijau Kuning selepas satu musim yang penuh dugaan.
3) Penaja 'scammer'
Pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar Daud Bakar (kiri) dan Azizul Tandek ketika mengadakan perbincangan mengenai masa depan skuad Sang Kenari. — Facebook/Datuk Seri Azizul Tandek
Kedah hampir mendapatkan penaja pada Oktober lepas apabila konglomerat tempatan, Datuk Seri Azizul Tandek menerusi Mahsuri Medical Centre (MMC) memulakan langkah untuk sepenuhnya mengambil alih pemilikan saham KDA FC.
Namun, persepakatan itu tidak termeterai selepas orang ramai mendapati syarikat miliknya tidak mempunyai model perniagaan yang jelas meskipun baru-baru ini dikatakan menerima tajaan lumayan dari Timur Tengah.
Ia menyebabkan sesetengah penyokong mendesak agar pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar tidak melayani hasrat usahawan kelahiran Sabah itu kerana tidak mahu situasi lebih buruk dialami skuad Sang Kenari.
Tidak lama selepas itu, pihak pengurusan KDA FC memutuskan untuk menutup pintu rundingan dengan DSAT Group dan sehingga kini, masih tiada sebarang syarikat atau organisasi mendekati Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram