KEDAH Darul Aman FC menyambut baik keprihatinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengenai isu kewangan dihadapi mereka.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, pemilik Kedah, Tan Sri Dr Daud Bakar berkata, pihaknya menyambut baik usaha daripada kerajaan negeri untuk duduk semeja dan membincangkan isu dialami Sang Kenari.
Daud percaya yang kerjasama bersama pihak negeri dapat membantu memulihkan masalah gaji dialami skuad Kedah yang dilihat sudah lama berlarutan.
BACA LAGI: Selalu telefon tanya khabar rakan di Kedah, Ifedayo akui pernah hampir boikot latihan Sang Kenari
BACA LAGI: Sabah, Kedah anjur aksi 'sparring', ramai pula janggal ada 'friendly' pertengahan Liga Super
"Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Noor, Menteri Besar Kedah di atas keprihatinan serta rasa simpati Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk mempertimbangkan kaedah serta cara meringankan masalah yang telah dan sedang dihadapi oleh KDA FC ketika ini.
"Sehubungan itu, pihak pengurusan KDA FC amatlah berbesar hati serta menyambut baik hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah tersebut untuk membincangkan segala kesulitan yang dihadapi KDA FC.
"Sebelum ini pihak KDA FC telah mengadakan beberapa siri rundingan bersama pihak pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah dan siri rundingan lanjut berhubung permasalahan kewangan yang sedang dihadapi oleh KDA FC ini.
"Akhir sekali, kami percaya dan yakin Yang Amat Berhormat Dato’ Seri boleh memberikan solusi yang cepat dan efisien dalam mencari titik nokhtah kepada kesulitan serta permasalahan kewangan yang melanda KDA FC," kata Daud dalam kenyataannya.
Dalam masa yang sama, Sang Kenari sudah menghantar surat rasmi kepada kerajaan negeri berkenaan kunjungan hormat kepada Sanusi pada Rabu.
Diharap perkembangan ini dapat membantu memulihkan masa depan Sang Kenari yang dilihat semakin kelam akibat tunggakan gaji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram