Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
PARK Jae-hong sah tinggalkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC atas persetujuan bersama dan sudah pulang ke Korea Selatan pada Jumaat – meninggalkan pasukan dalam keadaan tidak terurus, dengan masa depan skuad Kijang Emas itu bagi baki tujuh perlawanan liga dalam ketidaktentuan.
Segala-galanya kini terserah kepada penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya, untuk pasukan itu menghimpun secukup pemain ke Manjung pada Sabtu bagi memenuhi jadual perlawanan liga menentang Perak FC pada Ahad.
Bayangkan keadaan tidak semua pemain kelab itu berpangkalan di Kota Bharu. Untuk perjalanan ke Manjung semalam, hanya 12-13 pemain menaiki bas dari Kota Bharu manakala selebihnya membuat perjalanan sendiri dari tempat asal masing-masing seperti dari Ipoh dan Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Cemerlang di Bukit Jalil, ramai tak sangka gaji bintang Singapura pernah serendah pemain Piala MFL
BACA LAGI: Maniam mula congak keutamaan demi pastikan PDRM capai kedudukan terbaik
Bola Pegun difahamkan seperti sebelumnya mereka akan meneruskan perjuangan tanpa persiapan rapi dengan mengadakan hanya satu sesi latihan secara berpasukan untuk menentukan pilihan pemain dan strategi sambil pemain-pemain menghabiskan masa selebihnya dengan latihan sendiri.
Dengan gaji yang tidak berbayar selama lima bulan menjelang akhir bulan ini, ia suatu ‘keajaiban’ buat KDN FC dapat menghimpun secukup pemain untuk berdepan Perak FC sambil baki enam perlawanan selepas itu menimbulkan persoalan besar.
Ketiadaan padang latihan tetap sekadar memburukkan lagi keadaan selain pemain-pemain dari luar Kelantan dikatakan sudah kembali ke tempat asal masing-masing dan hanya menyertai pasukan sehari sebelum sesuatu perlawanan.
Seperti dilaporkan sebelumnya, kesemua sembilan pemain import KDN FC sudah tidak lagi bersama pasukan – dengan penyerang, Washington Brandao adalah yang terbaharu mengambil langkah itu baru-baru ini.
Kim Li-kwan bersama seorang lagi bekas pemain KDN FC, Ahn Jae-jun, menyertai kelab K-League 2, Ansan Greeners – mengikut jejak Aung Kaung Mann, Oday Kharoub yang memilih meninggalkan Sang Kijang Emas selepas pasukan itu dibelenggu isu kewangan.
Li-kwan (tengah) beraksi di posisi pertahanan bersama KDN FC. —Facebook/TFC
Kaung Mann menyertai kelab Thai League 2, Phra United manakala Oday dan Brandao pula masing-masing memilih kelab Libya, Al-Ahly, dan kelab Vietnam, Hoang Anh Gia Lai (HAGL).
Perkembangan itu bukan sekadar permulaan kepada masalah yang dihadapi KDN FC, malah membuka fail kepada masalah lebih besar jika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk mengambil tindakan.
Pada 12 November lalu, seorang ejen dari Korea, Myeongho Jeong, dilaporkan sudah mengemukakan aduan secara rasmi kepada badan induk bola sepak antarabangsa itu selepas KDN FC tidak menyelesaikan masalah membabitkan visa dan tunggakan gaji jurulatih dan pemain import dari negara itu.
Menurut Jeong, pihaknya sudah terbuka untuk mendapatkan jalan penyelesaian membabitkan kemelut berkenaan tetapi KDN FC kelihatan tidak serius untuk menyelesaikannya, sekali gus memaksa perkara itu dipanjangkan kepada FIFA.
“Saya sudah membuat aduan rasmi kepada FIFA (pada pertengahan November). Anda (KDN FC) sentiasa berbohong dan saya tidak lagi boleh menunggunya. Saya memulakan tindakan undang-undang ke FIFA dan pasukan ini akan hilang nanti,” kata Jeong di laman Instagramnya.
Tidak sekadar Jeong, bekas pemain dari Palestin, Oday, turut mengancam untuk membuat aduan kepada FIFA jika kelab itu gagal melunaskan tunggakan gajinya.
Oday meninggalkan KDN FC selepas kelab berkenaan tidak serius menyelesaikan isu tunggakan gaji. —Facebook/KDNFC
“Saya bermain bola sepak dan tinggalkan Palestin untuk membantu keluarga yang terjejas oleh perang. Mereka hanya bergantung kepada saya. Setiap bulan saya hantar wang untuk sara hidup mereka.
“Ketika ini, saya masih menunggu KDN FC melunaskan tunggakan gaji. Jika mereka membayarnya, saya akan kekal tapi jika sebaliknya, saya terpaksa mencari pasukan lain,” katanya seperti dipetik sebuah akhbar pada 1 Januari lalu.
Jae-hong, ketua jurulatih yang dilantik secara rasmi pada 19 April 2024, turut tidak menerima gaji bagi bulan September, Oktober, November dan Disember hingga mendorongnya meninggalkan pasukan dan mengambil penerbangan pulang ke Korea semalam.
Daripada sebuah pasukan yang mengejutkan ramai dengan mencukupkan kuota sembilan pemain import pada pramusim, KDN FC kini mungkin di ambang pembubaran jika pemain-pemain senior memboikot pasukan dan meninggalkan cabaran pasukan kepada pemain-pemain dari skuad bawah 23 tahun.
Masalah pasukan sebenarnya sudah pun ‘membara’ selepas kekalahan kepada Selangor FC dengan agregat 1-8 dalam suku akhir Piala Cabaran pada 22 Disember lalu.
Dengan masalah pemain yang tidak dibayar gaji makin meruncing – mereka tiada wang untuk ke padang latihan – pemain-pemain dibenar menjalani latihan bersendirian sekadar untuk mengekalkan kecergasan dan hanya berhimpun sebagai sebuah pasukan sehari sebelum perlawanan.
Dalam keadaan serba kekurangan itu pun, skuad Kijang Emas masih mampu memberi tentangan sengit untuk hanya tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC hasil jaringan Fayadh Zulkifi di Alor Setar, 10 Januari lalu.
Pemain-pemain sedia ada dikatakan mempunyai dua sebab untuk terus bersama pasukan ketika ini – menunggu tunggakan gaji mereka dilunaskan seperti sudah dijanjikan pihak pengurusan selain berharap untuk dikekalkan jika KDN FC masih kekal bersaing musim depan.
“Mereka sanggup terus bermain demi kerjaya bola sepak masing-masing. Boleh juga kata mereka bermain untuk masa depan sendiri kalau-kalau ada pasukan lain berminat mendapatkan mereka,” kata satu sumber.
Pihak pengurusan pasukan pula dikatakan tidak bersikap lepas tangan tetapi menuntut pasukan agar memahami masalah yang ada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram