'Bersinar zaman kegelapan', 3 bintang lokal Sang Kenari termasuk Hasbullah Abu Bakar boleh berteduh 'rumah' baharu


  • Podium
  • Isnin, 20 Jan 2025

Skuad Sang Kenari hanya memiliki beberapa pemain yang terus setia mengerah kudrat demi pasukan. — Facebook/KDA FC

TIDAK salah untuk mengatakan Kedah Darul Aman (KDA) FC hari ini berada dalam zaman kegemilangan mereka berpunca daripada kemelut kewangan serius sehingga memberi kesan terhadap persembahan pemain.

Manakan tidak, dalam laporan kebelakangan ini, terdapat individu mendedahkan pemain tidak menerima bayaran gaji selama tujuh bulan yang sememangnya membawa ujian hebat terhadap kebajikan masing-masing.

Lebih mengecewakan lagi, pihak pengurusan juga terus berdiam diri mengenai nasib dialami pasukan dengan setiap kenyataan media diberikan tidak disusuli tindakan sewajarnya.

BACA LAGI: Tunggakan gaji punca pemain Kedah ponteng latihan — Victor Andrag

BACA LAGI: KDA FC terima perletakan jawatan Nafuzi Zain walaupun berat hati, Victor Andrag pengganti interim

474127308_643634704684377_3266119856068362814_n

Skuad Sang Kenari bersama-sama mengharungi episod gelap yang melanda pasukan. Facebook/KDA FC

Situasi meruncing itu jelas memberi kesan terhadap gaya permainan anak-anak buah Victor Andrag kerana masing-masing kelihatan tidak berminat untuk mencurahkan usaha 100 peratus di atas padang.

Namun, masih ada yang bertindak sebaliknya apabila setiap minit diberikan berjaya dimanfaatkan sebaiknya dengan harapan kelab Liga Super lain berminat untuk menagih khidmat mereka musim depan.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga pemain yang boleh diletakkan dalam kategori itu dengan sudah terdapat destinasi terbaik yang boleh dipilih sejurus kempen 2024/25 melabuhkan tirainya.

1. Hasbullah Abu Bakar

Kehilangan beberapa tonggak utama menyaksikan skuad Sang Kenari terpaksa meletakkan kepercayaan terhadap pemain yang pada awal musim tidak dapat meraih minit permainan secukupnya.

Antara yang menerima manfaat tersebut ialah pemain tengah, Hasbullah Abu Bakar yang sudah menjadi watak penting dalam barisan tengah Kedah selepas dia mencuri perhatian Victor Andrag.

474145959_643638031350711_942284393287888188_n

Hasbullah memanfaatkan setiap minit permainan yang diraihnya. Facebook/KDA FC

Pertembungan separuh akhir MFL Challenge Cup dengan PDRM FC pada Sabtu merupakan bukti terbaik yang menunjukkan rekrut dari Negeri Sembilan FC itu sudah semakin selesa dalam pasukan.

Persembahan meyakinkan itu sudah pasti mencuri perhatian kelab-kelab lain dalam Liga Super yang bercita-cita mendapatkan khidmat pemain berusia 30 tahun terbabit bagi mengukuhkan pasukan musim depan.

Perak FC dan Penang FC kelihatan seperti antara destinasi terbaik buat anak jati Johor berkenaan kerana kehadirannya dalam barisan tengah akan membawa kestabilan dari segi serangan dan pertahanan.

2. Aiman Afif

Sekiranya hendak dibandingkan dengan musim-musim lalu, Aiman Afif sudah diberikan minit permainan lebih kerap bagi kempen kali ini memandangkan KDA FC tidak memiliki pilihan lain.

Meskipun hanya meraih penampilan atas faktor berkenaan, pemain berusia 23 tahun itu tidak mengecewakan kerana kerap mengerah kudrat bagi membantu jentera serangan pasukan.

474209899_643638738017307_2055648038877917139_n

Aiman Afif masih boleh dibentuk untuk menjadi pemain muda berkualiti. Facebook/KDA FC

Impaknya tidaklah begitu besar sekiranya hendak dibandingkan dengan penyerang lain dalam skuad, namun ia sedikit sebanyak membantu menggerakkan pasukan supaya tidak mengalami kekalahan terlalu memalukan.

Menyedari potensi dimilikinya, anak jati Jitra, Kedah itu sudah tentu akan cuba disambar mana-mana pasukan, seperti Terengganu FC dan Selangor FC yang mahu mencari pelapis bagi tahun-tahun mendatang.

Sekiranya Aiman tidak berada dalam skuad utama, dia pasti tidak terlalu kecewa sekiranya hanya diturunkan dalam pasukan simpanan memandangkan dia mencatatkan enam penampilan Piala MFL musim ini.

3. Ariff Farhan

Sejak awal musim lalu, bek kanan Kedah, Ariff Farhan Md Isa sudah membuktikan dirinya sebagai antara pemain lokal terbaik dalam Liga Super di posisinya itu.

Pemain yang pernah disebut-sebut akan menyarung jersi skuad kebangsaan itu sememangnya mampu diharapkan setiap kali beraksi, lebih-lebih lagi dalam usaha mengekang pergerakan lawan.

474465613_643639111350603_6913577435607023524_n

Ariff Farhan merupakan antara pemain paling konsisten buat skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Masalah gaji dialami skuad Sang Kenari juga seperti tidak memberi kesan terhadap persembahannya kebelakangan ini kerana dia masih sanggup beraksi di tahap terbaik.

Berdasarkan statistik, bek sayap berusia 28 tahun berkenaan beraksi dalam 16 daripada 17 perlawanan Liga Super dengan hampir kesemua penampilan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Jadi, sekiranya Ariff Farhan mengambil keputusan meninggalkan Kedah, terdapat beberapa destinasi terbaik baginya seperti Terengganu FC yang amat memerlukan bek kanan musim depan berikutan pemergian Azam Azmi Murad ke Johor Darul Ta'zim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram