Program Junior Golf Summer Camp dapat tunjuk ajar istimewa bintang golf kebangsaan


  • Podium
  • Rabu, 12 Feb 2025

Para peserta berusia lapan hingga 16 tahun dianggap bertuah kerana mendapat sentuhan daripada atlet yang melakar sejarah untuk negara.

PROGRAM Junior Golf Summer Camp 2025 anjuran One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group yang melibatkan seramai 25 peserta sempena musim cuti persekolahan.

Program selama dua hari yang berlangsung bermula Isnin (10 Februari) itu telah diadakan di Port Dickson Golf and Country Club, Port Dickson, Negeri Sembilan dengan tujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai dunia profesional sukan golf.

Pengasas One Professional Golf Academy, Mohd Irwan A. Rahman berkata, kerjasama terjalin antara The Weststar Group adalah untuk memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Auto banyak bunyi', bekas orang kuat Selangor dedah sikap Wak Am ketika muda, optimis boleh jadi ‘orang tua’ terbaik

BACA LAGI: Man United setuju harga Gyokeres, Liverpool terima tawaran Salah

WhatsApp Image 2025-02-12 at 11.42.58

Ng Jing Xuen (dua kanan) memberi tunjuk ajar kepada salah seorang peserta Program Junior Golf Summer Camp 2025.

“Program kali kedua ini menampilkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air yang memiliki pengalaman luas dalam sukan ini termasuk bekas atlet kebangsaan, Shaaban Hussin.

“Para peserta turut mendapat bimbingan istimewa dan tip menarik daripada pemain golf pertama negara yang memenangi emas individu wanita di Sukan SEA Kemboja 2023, Ng Jing Xuen,” katanya.

Mohd Irwan yang merupakan pengarah program tersebut berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Program Junior Golf Summer Camp 2025 di Port Dickson Golf and Country Club, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, peserta-peserta berusia lapan hingga 16 tahun dianggap bertuah kerana mendapat sentuhan daripada atlet yang melakar sejarah untuk negara.

“Melalui program ini, penilaian dilakukan berdasarkan aspek teknikal, fizikal dan mental sekali gus dapat mengenal pasti kelebihan serta kelemahan mereka.

“Ia dapat membantu memperbaiki kemahiran mereka termasuk dari segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025-02-12 at 11.42.59

Ng Jing Xuen menerangkan beberapa kemahiran kepada peserta dari segi pukulan dan postur tubuh badan.

Katanya, maklumat diperoleh tersebut akan diserahkan kepada ibu bapa para peserta sebagai rujukan dan kegunaan pada masa hadapan terutama dalam perjalanan golf mereka serta apabila ingin menyertai kejohanan-kejohanan.

Dalam pada itu, Mohd Irwan berharap kerjasama bersama The Weststar Group dapat diteruskan untuk memperluaskan program berkenaan sekali gus memartabatkan industri golf tanah air terutama di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Jing Xuen berkata, program berkenaan merupakan platform terbaik dalam menggilap bakat-bakat muda dalam sukan golf.

“Mereka memiliki sikap positif dalam mempelajari sesuatu yang baharu dan semangat kesukanan tinggi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram