
MELIHAT situasi semasa kancah bola sepak Malaysia, pelbagai khabar angin timbul melibatkan kelab-kelab Liga Super yang mungkin akan ada penarikan diri daripada saingan liga bermula musim depan.
Isu tunggakan gaji dan kos operasi kelab yang semakin meningkat menjadi salah satu punca banyak pasukan tidak mampu menanggung beban kewangan.
Penurunan statistik kehadiran penyokong ke stadium juga menjadi faktor buat pihak pengurusan kelab sukar untuk menjana pendapatan selain jualan 'merchandise' yang tidak mendapat sambutan.
BACA LAGI: JDT mampu pergi jauh di ACLE andai pemain tepat jadi taruhan — Legenda Selangor
Tampil memberikan cadangan, bekas jurulatih Selangor, Ramon Marcote berpendapat pasukan Liga M memerlukan asas yang perlu diberi perhatian.
Marcote yang juga pernah mengemudi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa mana-mana kelab, tanpa mengira status, mesti mempunyai garis tindakan yang jelas untuk mencapai matlamatnya.
Tanpa hala tuju yang ditetapkan, walaupun pasukan yang paling bercita-cita tinggi boleh gagal mencapai potensinya.
"Pertama, tetapkan matlamat yang realistik, boleh dicapai, dan sesuai dengan kelab serta pasukan berdasarkan bajet, jumlah ahli dan kapasiti pertumbuhan (keupayaan untuk menarik pelabur baharu).
"Tentukan bukan sahaja falsafah perniagaan kelab tetapi juga falsafah bola sepaknya. Kedua-duanya berkait rapat kerana kelab menawarkan produk kepada penyokong.
"Produk yang bukan sahaja mesti menarik tetapi juga memenuhi objektif kelab dan jangkaan penyokong. Ia tentang membina rasa kekitaan dalam kalangan jurulatih, pemain dan penyokong," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan juga perlu melakukan yang terbaik dalam memastikan jangka masa panjang pasukan seperti individu-individu yang wajar dibawa masuk.
"Kejelasan dalam aspek ini adalah penting kerana ia akan menentukan sama ada staf kejurulatihan sedia ada adalah sesuai atau jika perlu dilakukan perubahan atau penambahan anggota baharu.
"Adalah mustahak bahawa idea pemilik kelab, ahli lembaga, staf kejurulatihan dan pemain dalam skuad selari antara satu sama lain," katanya.
Teliti kekuatan, kelemahan pasukan
Marcote berkata, pengurusan bersama-sama staf teknikal mesti menganalisis dengan teliti kekuatan dan kelemahan pasukan serta menentukan keperluan sebenar kelab.
"Mengekalkan pemain utama dan menjalankan pencarian bakat yang menyeluruh untuk mendapatkan pemain yang memenuhi keperluan kelab, sesuai dengan model kelab, serta mempunyai tahap permainan yang sebenar untuk menyumbang kepada pencapaian matlamat pasukan.
"Staf teknikal mesti dengan jelas menentukan model dan gaya permainan serta variasi yang perlu dikuasai oleh pasukan, memberikan pasukan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan lawan (sejajar dengan falsafah kelab).
"Melabur dalam staf teknikal, pemain bertaraf tinggi, serta teknologi (jabatan persediaan fizikal dan pemulihan kecederaan, jabatan pencarian bakat, jabatan analisis taktikal dan lain-lain yang dilengkapi dengan teknologi terkini dapat membantu jurulatih terbaik dalam tugas mereka)," jelasnya lagi.
Marcote juga mengingatkan agar pihak pengurusan sentiasa melabur kepada sesuatu yang bermanfaat buat kelab untuk tempoh jangka panjang.
"Ia bukan sekadar berbelanja, tetapi melabur dengan visi masa depan berfikir secara besar untuk mencapai matlamat jangka pendek yang realistik serta membina kelab dan pasukan bagi mencapai matlamat jangka panjang yang lebih besar.
"Paling penting, berikan kestabilan dan kesinambungan kepada projek. Jika semua tugas sebelum ini telah dilakukan dengan baik, kini tiba masanya untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada staf kejurulatihan.
"Masa untuk memberi kestabilan kepada jurulatih supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan tekad dan tahap tuntutan yang tinggi," katanya yang pernah menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid dan Arab Saudi, Al-Hilal.
Marcote yang juga pernah mengendali pasukan Ethnikos pada 2022 berkata, pihak pengurusan kelab bola sepak juga mesti sentiasa menyokong dan mempertahankan keputusan staf kejurulatihan.
"Sebarang tanda kelemahan atau perpecahan antara pengurusan dan staf kejurulatihan akan menjadi ruang yang akan dimanfaatkan oleh pemain untuk kepentingan sendiri dan bukan untuk kepentingan pasukan.
"Apabila retakan seperti ini muncul, staf kejurulatihan akan melemah dan prestasi serta keputusan pasukan akan merosot," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram