
MALAYSIA memulakan kempen Badminton Asia Mixed Team Championship (BAMTC) 2025 dengan langkah kiri apabila kecundang 2-3 di tangan Hong Kong dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Qingdao, China pada Rabu.
Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang diberi tugas penting selaku wakil pertama dikejutkan dengan kekalahan 21-17, 17-21, 11-21 kepada Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dalam tempoh perlawanan selama 59 minit itu.
Pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Saloni Samirbhau Mehta 21-18, 21-18 dalam masa 46 minit dan berjaya mengikat kedudukan 1-1.
Skuad badminton negara tewas dengan keputusan 2-3 di tangan Hong Kong. — BAM
Bagaimanapun, momentum itu tidak dapat diteruskan apabila pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tewas 19-21, 16-21 kepada Lee Cheuk Yiu.
Kekalahan Malaysia kemudian disahkan beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tewas 17-21, 14-21 kepada Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.
Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, kemudian merapatkan jurang buat negara dengan kemenangan 21-13, 21-11 ke atas Hung Kuei Cun-Lui Chun Wai.
Tugas berat menanti Malaysia andai ingin melangkah ke saingan suku akhir apabila perlu meraih kemenangan ke atas Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Khamis. — The Star/R.KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram