Kisah debut berbeza, Alvaro jadi wira JDT, Roque Mesa tak sempat bersinar di ACLE


  • Podium
  • Selasa, 11 Feb 2025

Rekrut baharu skuad Harimau Selatan ini menjaringkan dua gol pada babak kedua permainan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya dalam misi mengumpul tiga mata penuh pada perlawanan ketujuh Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2024/25 menentang Central Coast Mariners di Australia pada Selasa.

Pada babak pertama, serangan demi serangan dilancarkan wakil tunggal Liga Super itu tidak membuahkan hasil kerana mereka bergelut untuk memecahkan tembok pertahanan tuan rumah.

Padah melanda skuad Harimau Selatan apabila pada minit ke-24 permainan, rekrut baharu pasukan iaitu Roque Mesa terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ kuat Jonathan Viera-Roque Mesa kemudi tengah padang bukti pembelian bijak JDT

BACA LAGI: Kisah misai 'kontot' Roque Mesa, aksi di Liga Eropah bakal bantu JDT layak ACLE?

476561143_1198694131626561_7238551711134097756_n

Roque Mesa beraksi untuk kira-kira 24 minit sebelum dikeluarkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bekas pemain tengah Swansea City FC itu tidak dapat meneruskan permainan selepas kakinya berada dalam keadaan kekok semasa dia melakukan bentesan terhadap pemain lawan.

Pengalaman dan kepakarannya dalam mengawal tempo pasukan sememangnya dirindui pada babak kedua meskipun Afiq Fazail hadir mengisi kekosongan ditinggalkan pemain kelahiran Sepanyol terbabit.

Pada separuh masa kedua pula, JDT yang beraksi dengan kelebihan pemain selepas penjaga gol Central Coast Mariners, Dylan Peraic-Cullen dibuang padang terus beraksi dengan semangat.

Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-64, Alvaro Gonzalez yang merupakan seorang lagi rekrut baharu pasukan berjaya memecahkan kebuntuan.

Percubaan rendah dibuat selepas menerima umpanan Arif Aiman Hanapi meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan gol berkenaan berjaya membakar semangat anak-anak buah Hector Bidoglio.

477572479_1198728811623093_8463446935471791032_n

Alvaro menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak berkekalan kerana kira-kira enam minit kemudian, Central Coast Mariners mengikat kedudukan selepas Alou Kuol menanduk masuk bola dari jarak dekat.

Gol tersebut pada awalnya hampir dibatalkan kerana penyerang itu dilihat berada dalam keadaan ofsaid, namun semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati kedudukannya adalah tepat.

Namun, pada minit ke-79, senyuman kembali dilakar di wajah skuad Harimau Selatan apabila Alvaro sekali lagi menjadi wira pasukan selepas dia menanduk masuk hantaran Heberty Fernandes.

Jaringan berkenaan menyaksikan kedudukan 2-1 kekal sehingga minit terakhir permainan, sekali gus menyaksikan JDT meraih tiga mata penuh untuk membuka peluang ke pusingan kalah mati.

Selepas tujuh perlawanan, pasukan Selatan tanah air itu berada di kedudukan kelima carta ACL Elite Zon Timur dengan kemenangan ke atas Pohang Steelers dalam aksi penutup akan meletakkan mereka dalam pusingan 16 pasukan terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram