[VIDEO] ‘Chemistry’ kuat Jonathan Viera-Roque Mesa kemudi tengah padang bukti pembelian bijak JDT


  • Podium
  • Sabtu, 08 Feb 2025

Mesa (kiri) dan Viera (tengah) pernah beraksi bersama-sama di UD Las Palmas. — Agensi

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) membawa masuk tiga bintang baharu Sepanyol dengan misi untuk mara lebih jauh ke pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang mana perlawanan debut mereka ialah menentang kelab Australia, Central Coast Mariners pada 11 Februari nanti di Australia.

Tiga pemain itu ialah Jonathan Viera, Roque Mesa dan Alvaro Gonzales yang mana mereka semua mempunyai kualiti dan kredibiliti sebagai bintang di La Liga.

Membawa masuk Mesa dan Viera bukanlah hanya pada nama kerana dua pemain itu antara 'pair' yang paling bagus ketika kedua-duanya beraksi bersama UD Las Palmas.

BACA LAGI: 'Takda idea, gila publisiti', Safawi Rasid mahu saman berita fitnah kononnya meninggal dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Bek baharu JDT pernah makan penampar bintang PSG lepas didakwa ejek Neymar 'monyet'

Menerusi data laman web Transfermarkt, aksi debut gandingan dua pemain tengah itu membawa kepada kemenangan UD Las Palmas 2-1 ketika menewaskan Celta de Vigo pada musim 2011/12.

Di sini, pihak pengurusan JDT dilihat sangat bijak untuk mengambil peluang pengalaman 'chemistry' enam tahun mereka berdua beraksi bersama untuk mengemudi barisan tengah JDT dalam saingan ACLE.

Gandingan dua pemain itu membolehkan Viera menjaringkan 28 gol dalam 93 perlawanan selain melakukan 23 assist ketika beraksi bersama UD Las Palmas.

FC Barcelona, Real Madrid, Atletico Madrid dan Villarreal CF antara pasukan yang pernah dihadapi ketika diberi kepercayaan mengemudi bahagian tengah UD Las Palmas.

Mesa yang banyak bertindak sebagai pemain tengah bertahan memberikan kelebihan buat Viera untuk mencari ruang dan bergerak secara bebas dalam menghasilkan jaringan gol.

Kali terakhir mereka beraksi bersama pada musim 2016/17 apabila Mesa memilih untuk menerima cabaran baharu di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menerima tawaran Swansea City.

Manakala Viera pula mendapat tawaran gergasi dari kelab China, Beijing Guoan pada 2018.

Usaha JDT dalam mendapatkan mereka dengan pantas secara percuma wajar dipuji selepas melihat rekod keserasian Viera dan Mesa di atas padang bersama UD Las Palmas.

Bagi Viera, Mesa adalah pemain ketiga yang paling banyak beraksi bersamanya sepanjang karier selepas David Garcia (UD Tamaraceite) dan Vicente Gomez (bersara) dengan 93 perlawanan.

Manakala Mesa pula, Viera adalah pemain kedua yang paling banyak beraksi bersamanya selepas David Simon (AE Kifisias). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram