JDT mampu pergi jauh di ACLE andai pemain tepat jadi taruhan — Legenda Selangor


  • Podium
  • Selasa, 11 Feb 2025

Nizaruddin yakin JDT mampu mengatasi CCM dalam saingan ACLE jikalau Bidalgio meletakkan pemain-pemain yang tepat. — JDT

BEKAS pemain Selangor FC, Nizaruddin Yusof berpendapat Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu mara lebih jauh selepas melihat persiapan skuad kendalian Hector Bidalgio yang membawa masuk tiga bintang baharu daripada Sepanyol.

Nizaruddin juga yakin JDT mampu mengatasi Central Coast Mariners (CCM) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) jikalau Bidalgio meletakkan pemain-pemain yang sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

"Kita tahu pasukan dari Australia ini memang pasukan yang baik, namun dari segi persiapan JDT nak main ACLE ini nampak agak kukuh.

BACA LAGI: [VIDEO] Hasrat tengok 3 bintang baharu, fasiliti CCM curi tumpuan fans JDT sebelum beradu tenaga

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hype' sebelum jumpa JDT, 4 ex Central Coast Mariners termasuk Wenzel-Halls pernah warnai Liga M

"Saya masih lagi dengan pendapat dari awal tempoh hari, saya rasa JDT boleh pergi lebih jauh ACLE tahun ini.

"Menang dengan Central Coast Mariners, saya percaya peluang skuad itu terbuka untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Tapi kalau Bidalgio turunkan pemain yang betul, tepat dan tengah 'in-form' saya percaya sebab dari segi permainan, dari segi kekuatan pasukan memang seimbang," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, kehadiran tiga pemain import baharu iaitu, Jonathan Viera, Alvaro Gonzales dan Roque Mesa akan memberikan sesuatu yang baik buat Harimau Selatan.

"Saya rasa pemain yang ada tidak termasuk tiga yang baharu masuk, JDT masih lagi boleh bersaing dengan pasukan besar.

"Kalau tiga pemain baharu itu boleh bermain (di ACLE), mungkin tambahan yang bagus untuk pasukan sebab saingan ACLE berbeza memandangkan pasukan-pasukan dalam kejohanan itu bertaraf gred A di Asia.

"Jadi perlu untuk turunkan pemain-pemain yang betul-betul kuat dan andai kata JDT tidak boleh menurunkan pemain baharu mereka, saya percaya masih ada lagi pemain-pemain yang bagus dalam skuad itu yang boleh menampung segala perancangan dan taktikal jurulatih," jelasnya.

Aksi Central Coast Mariners berdepan JDT bakal berlangsung pada Selasa, 11 Februari di tempat lawan dengan sepak mula pukul 4 petang waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram