Anak jati Sabah disebut calon pengganti ideal lepas Park Tae-su sumbat gol sendiri


  • Podium
  • Isnin, 10 Feb 2025

Hanafie (kanan) prnah diletakkan dalam skuad utama Sabah beberapa musim sebelum ini. — Facebook/Sabah FC

PENANTIAN Sabah FC untuk beraksi dalam perlawanan akhir berterusan susulan penyingkiran memedihkan daripada Piala Malaysia di peringkat separuh akhir kepada Sri Pahang FC.

Kekalahan agregat 2-3 kepada kelab Pantai Timur itu sememangnya sukar diterima sehingga hari ini, lebih-lebih lagi apabila kredibiliti pengadilan menimbulkan persoalan di media sosial.

Namun, kekecewaan penyokong skuad Sang Badak terhadap aksi tersebut tidak hanya tertumpu kepada hal berkenaan kerana masing-masing turut berang dengan gaya permainan pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Maafkan gol sendiri Tae-su, ini 3 momen Pak Karim harumkan Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Salah ref', fans Sang Badak bersama ketua kampung Likas, 'backup' gol sendiri Park Tae-su

WhatsApp Image 2025-02-10 at 12.06.21 PM

Jaringan sendiri daripada Tae-su masih sukar diterima penyokong skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Tetapi, apa yang lebih mengecewakan peminat setia kelab Borneo tanah air itu adalah mengenai gol sendiri daripada kapten pasukan, Park Tae-su yang menanduk masuk hantaran lintang Baqiuddin Shamsudin.

Jaringan itu sememangnya merentap semangat Sabah FC yang meskipun berjaya mengikat kedudukan tidak lama kemudian, kesungguhan mereka untuk membawa keriangan buat penyokong jelas luntur.

Faham akan perasaan berkenaan, import dari Korea Selatan berkenaan kemudiannya tampil membuat permohonan maaf di laman Instagram peribadinya dengan mengatakan dia akan berusaha memperbaiki prestasinya.

Bagaimanapun, luahan di media sosial itu seperti tidak membawa erti kepada penyokong skuad Sang Badak yang beranggapan pemain berusia 35 tahun tersebut perlu direhatkan buat sementara waktu.

Malah, sebuah laman penyokong di Facebook, Rhinos Pride tampil memberi cadangan dengan mengatakan bek kelahiran Tongod, Hanafie Tokyo sebagai calon pengganti ideal.

476356617_605482838954183_8616621272834828891_n

Hanafie diletakkan dalam skuad Piala MFL selepas bergelut dalam pasukan utama. Facebook/Sabah FC

Hantaran yang dibuat pada Sabtu lalu itu menceritakan bagaimana pemain yang berada dalam skuad muda Sang Badak tersebut boleh mengisi kekosongan mungkin ditinggalkan Tae-su.

"Hanafie Tokyo ialah pemain pertahanan Sabah FC II yang dilihat sangat sesuai untuk menggantikan tempat Park Tae-su. Percaya kepada proses akar umbi pertahanan Sabah FC," katanya.

Pada musim-musim sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu pernah diletakkan dalam skuad utama, namun prestasi tidak menentu menyaksikannya terlalu kerap diletakkan di bangku simpanan.

Jadi, dalam harapan mengembalikan semula keyakinannya di atas padang, pihak pengurusan Sabah FC mengambil keputusan menyenaraikannya dalam skuad Piala MFL bermula musim 2024/25.

Bagaimanapun, selepas mencatatkan 13 penampilan buat Sabah FC II, Hanafie masih gagal mencuri tumpuan ramai memandangkan pasukannya ketika ini berada di kedudukan tercorot.

Sekiranya pemain itu terus bergelut dalam saingan peringkat belia, kemungkinan bagi Martin Stano serta barisan kejurulatihannya untuk menyerap pemain tersebut adalah amat tipis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram