
BEKAS pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga 1 Indonesia apabila pasukannya, Persis Solo menewaskan Persebaya dengan keputusan 2-1 pada Jumaat.
Pemain sayap kanan Persis, Moussa Sidibe dan penyerang berbisa, Ramadhan Sananta muncul selaku pencetak gol dalam aksi yang penuh dramatik itu.
Manisnya, skuad kendalian Kim Swee berjaya menewaskan pasukan yang kini menghuni tangga keempat liga, sedangkan mereka berada di kedudukan tiga tercorot.
BACA LAGI: 'Kalamullah lebih layak', fans Gergasi Merah tak setuju Ali Olwan dinobat MOTM
Bagaimanapun, kejadian menarik berlaku selepas perlawanan yang penuh dramatik apabila salah seorang staf kejurulatihan Persis Solo terjatuh di atas padang ketika cuba memeluk Kim Swee.
Kejadian itu berlaku selepas pasukan Persis Solo berjaya meledak gol kemenangan yang membolehkan mereka menewaskan lawan mereka setelah terikat 1-1.
Dalam sebuah video yang dikongsikan di Facebook, Kim Swee yang dilihat turut meraikan gol itu didekati oleh staf tersebut dan secara tiba-tiba dilanggar dan terjatuh bersama-sama staf yang tergelincir itu.
Kedua-dua mereka terjatuh di atas padang dalam suasana yang agak lucu, namun kegembiraan jelas terpancar apabila staf-staf lain datang untuk meraikan gol kemenangan yang cukup bermakna itu.
Keadaan tersebut menarik perhatian ramai penyokong yang mengikuti perkembangan perlawanan ini, dengan ramai yang turut merasa terhibur dengan insiden tidak dijangka itu, meskipun ia berlaku dalam keadaan yang tidak disengajakan.
"Lain macam kegembiraannya, sampai jatuh DOKS dibuatnya," kata Antan Anginsor.
"Kena tackle bah coach, mesti Kim Swee pun terkejut tiba-tiba datang lepas itu jatuh," kata Toney John.
"Kesian DOKS, lain macam betul gembira Persis Solo ini, mungkin sebab berjaya tewaskan pasukan Top 4 dalam carta," kata Salleh Amat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram