[VIDEO] Maafkan gol sendiri Tae-su, ini 3 momen Pak Karim harumkan Sabah


  • Podium
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Tae-su (tengah) membantu rakan senegaranya, Ko Kwang-min mendapat pemahaman sebenar mengenai taktikal Sabah FC. — Facebook

NAMA pertahanan kental Sabah FC, Park Tae-su baru-baru ini mencuri tumpuan penyokong Sang Badak selepas gagal membantu pasukan gergasi Borneo itu melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2024.

Pertahanan berusia 36 tahun itu melakukan kesilapan mudah dengan menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC, sekali gus kalah secara agregat 2-3 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang pada Ahad minggu lalu.

Dalam situasi genting itu, Tae-su dilihat berusaha untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, malangnya tandukan pemain kelahiran Korea Selatan itu masuk ke gawang Sabah dan gagal diselamatkan dengan kemas oleh penjaga gol, Damien Lim.

BACA LAGI: Bukan saja Sabah-Pahang, isu pengadilan dan VAR terus hantui 3 aksi Piala Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Salah ref', fans Sang Badak bersama ketua kampung Likas, 'backup' gol sendiri Park Tae-su

Susulan insiden itu, ramai penyokong meluahkan kekecewaan dan menuding jari kepada Tae-su sebagai punca The Rhinos gagal mara ke final Piala Malaysia.

Namun, Tae-su tampil merendah diri melalui laman Instagram peribadinya pada Selasa, memohon maaf setelah menerima kritikan daripada peminat The Rhinos.

Walaupun terdapat rasa kecewa dalam kalangan penyokong Sabah FC akibat kegagalan pasukan untuk mara ke final Piala Malaysia, mereka diingatkan agar tidak terus menyalahkan Tae-su.

'Ekor' Sang Badak digalakkan untuk memberikan sokongan yang lebih positif dan menghargai usaha yang telah diberikan oleh pemain pertahanan itu sepanjang perjalanan bersama Sabah FC.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga momen manis Tae-su atau mesra dengan sapaan Pak Karim itu bersama Sabah.

1. Gol jarak 40 meter

Saingan Piala Malaysia bagi musim 2021 menyaksikan kejutan besar dalam aksi Kumpulan D antara Sabah dan Petaling Jaya City apabila pemain import Sabah, Park Tae-su, menjaringkan gol menakjubkan dari jarak 40 meter.

Tae-su meledak gol menerusi sepakan percuma pada separuh masa pertama, menjadikannya gol pertama Sabah yang ketika itu di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Jaringan luar biasa itu menarik perhatian antarabangsa, dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memuat naik semula video gol tersebut di laman Twitter rasmi mereka.

Gol Tae-su ketika itu dilihat berpotensi untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas, memandangkan kesukaran dan keunikan gol tersebut.

2. Dua gol penting bawa Sabah ke Piala AFC 2023

Park Tae Su muncul wira buat Sang Badak selepas menjaringkan dua gol ketika The Rhinos bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Sabah pada 19 Julai 2022.

The Rhinos ketinggalan pada minit ke-47 apabila Manuel Ott menjaringkan gol untuk skuad Sang Penyu.

Meskipun ketinggalan 0-1 ketika itu, Tae-su muncul wira buat Sabah apabila berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-72 dan kemudian menjaringkan gol kemenangan lapan minit selepas itu.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Sabah berhasil menempah tiket untuk bersaing dalam kejohanan Piala AFC 2023 selepas mendapat slot automatik selaku pasukan yang berada pada kedudukan ketiga Liga Super 2022.

3. Import paling lama berkhidmat

Betapa hebatnya asimilasi budaya di Sabah, sehingga sebaik sahaja orang Korea tiba di negeri itu, mereka akan mengubah nama mereka kepada 'Karim'.

Begitulah yang terjadi kepada pemain bola sepak import Sabah, Tae-su yang berasal dari Incheon, Korea Selatan.

Tae-su cukup dikenali dengan sapaan Pak Karim dalam kalangan rakan sepasukan Sabah FC.

Sejak menyertai pasukan Sabah pada musim 2018/2019, Pak Karim beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia hampir lima tahun lamanya.

Siapa tahu, mungkin selepas ini Tae-su boleh menjadi pemain naturalisasi pasukan Harimau Malaya dan akan menjadi gandingan hebat dengan Dion Cools di barisan pertahanan Malaysia.

Selain itu, Tae-su dilihat sangat sesuai untuk menjadi pemain naturalisasi kerana fasih berbahasa Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram