![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/08/3157579.jpg)
EPISOD duka terus menghimpit Terengganu FC menjelang penghujung musim 2024/2025.
Selepas tumbang di Piala Malaysia, Terengganu terpaksa menelan hakikat apabila terkandas dalam Piala Shopee apabila tumpas kepada BG Pathum United.
Dengan satu lagi musim tanpa trofi buat kelab Pantai Timur itu. Misi yang tinggal buat skuad kendalian Badrul Afzan adalah dengan memastikan kedudukan tiga terbaik Liga Super dalam genggaman. Ia bermula dengan menewaskan Negeri Sembilan FC pada Ahad.
BACA LAGI: 'Jangan jadikan alasan', fans TFC enggan jadual padat punca dikecewakan BG Pathum United
BACA LAGI: Misi sekat BG Pathum United makin sukar, lepas Ivan Mamut, TFC hilang khidmat Alif Zakaria
Rekod baik bertemu skuad Jang
Bertemu Negeri Sembilan di laman lawan seolah-olah tidak memberikan apa-apa kesan kepada Terengganu dari segi kelebihan tuan rumah buat skuad Jang.
Hal ini kerana, rekod pertemuan melibatkan kedua-dua kelab menyaksikan kelebihan memihak Terengganu dalam 10 aksi terakhir dalam semua pertandingan.
Terengganu masih belum kalah kepada Negeri Sembilan pada musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Rekod pertemuan antara kedua-dua kelab menyaksikan Terengganu menang empat, seri tiga kali dan tiga kemenangan memihak Negeri Sembilan.
Pertemuan terakhir turut dimenangi oleh Terengganu dalam suku akhir Piala Malaysia berserta keputusan 3-2 diraih semasa perlawanan pertama Liga Super. Oleh itu, Terengganu mempunyai peluang mencipta kemenangan berganda ke atas Negeri Sembilan dalam liga musim ini.
Misi tiga terbaik
Selepas terlepas semua kejuaraan domestik dan antarabangsa musim ini, misi Terengganu tidak lain adalah untuk mengikat kedudukan atasan Liga Super.
Secara realistiknya, kedudukan tiga terbaik wajar diraih oleh Terengganu. Namun, mereka harus mengurangkan jurang dengan Sabah FC yang menduduki tempat ketiga.
Terengganu ketinggalan lapan mata di belakang Sabah.
Dengan perbezaan lapan mata tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan, setiap aksi adalah penting buat Terengganu. Sekali keciciran mata, pasti akan menganggu langkah untuk mendekati Sabah.
Kemenangan mesti diraih bertemu Negeri Sembilan. Jika tidak, peluang untuk berebut kedudukan lima terbaik lebih besar berbanding cuba merampas tempat ketiga daripada Sabah.
Status pasukan pilihan
Dengan rekod pertemuan yang lebih baik terutamanya musim ini, tidak keterlaluan untuk meletakkan Terengganu sebagai pasukan pilihan dalam aksi ini.
Ditambah dengan kedudukan Terengganu yang jauh lebih baik dalam liga, tidak hairan kenapa mereka dilihat sebagai calon mendapat tiga mata. Sebagai rekod, Negeri Sembilan menduduki tempat kedua tercorot Liga Super.
Terengganu dilihat sebagai pasukan pilihan dalam bertemu Negeri Sembilan. — Facebook/Terengganu FC
Ditambah dengan mempunyai set pemain lebih baik, Terengganu seharusnya beraksi pada tahap terbaik untuk membolehkan kemenangan menjadi milik mereka.
Perlawanan ini cukup penting dalam menentukan perjalanan musim Terengganu. Mahu atau tidak, kemenangan mesti diraih di Paroi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram