Terima 121 laporan, MACE dedah terima aduan isu pilih kasih, salah guna kuasa pemilihan atlet


  • Podium
  • Ahad, 09 Feb 2025

Atlet Malaysia banyak melaporkan isu pilih kasih kepada MACE. — Agensi

SEHINGGA November 2024, sebanyak 121 kes dilaporkan oleh atlet kebangsan kepada Unit Atlet Malaysia, Kerjaya dan Pendidikan (MACE) di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak Kod Sukan Selamat diperkenalkan pada 2023.

Kolumnis The Star, Rizal Hashim menerusi catatannya dalam siri On the Line, daripada jumlah tersebut, majoriti kes yang dilaporkan bukanlah berkaitan salah laku seksual terhadap atlet. Sebaliknya, ia lebih berkaitan kepada salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

Menurut Perunding Sukan Selamat di MACE, Melissa Mohd Akhir, aduan yang diterima lebih kepada isu pilih kasih dalam pemilihan atlet.

BACA LAGI: Elak tekanan kepada atlet, KBS tetapkan sasaran Sukan SEA tak ikut warna pingat

BACA LAGI: Satu-satunya peserta lelaki Klinik NSL, atlet memanah, kriket mahu uji kesukaran bola jaring

"Para atlet diberitahu yang mereka akan digugurkan sekiranya melaporkan sebarang bentuk pilih kasih, salah laku atau kesalahan dilakukan oleh pihak atasan.

"Ringkasnya, mereka akan sentiasa diancam sekiranya berbuat demikian. Jika mereka buat sebegitu, karier mereka akan musnah," kata Melissa dalam siri Podcast Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

IMG_1946-700x478

Melissa Mohd Akhir.

Pada masa yang sama, Melissa memberitahu yang Kod Sukan Selamat itu dihayati oleh semua pihak untuk mewujudkan suasana sukan yang selamat.

Bagi Melissa, dia sedia bekerjasama dengan MOM untuk mendidik para atlet, jurulatih dan pegawai mengenai kepentingan kod tersebut untuk mewujudkan suasana sukan lebih selamat.

"Kita perlu lengkapkan atlet dengan kekuatan mental bukan saja untuk bertanding tetapi menyediakan teknik buat mereka mengatasi tekanan dari luar dalam bentuk buli atau salah guna kuasa," ulas Melissa.

Menurut Kod Sukan Selamat, terdapat beberapa kesalahan yang boleh dilaporkan kepada MACE seperti, gangguan seksual, salah laku secara psikologi, salah laku secara fizikal, buli, gangguan serta sexual grooming. — The Star/RIZAL HASHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram