KLINIK Netball Super League (NSL) bagi musim 2025 kini kembali mewarnai sukan bola jaring tanah air yang berlangsung di Sports Arena, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor pada Sabtu.
Program yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bertujuan untuk memberikan pendedahan dan latihan berkualiti kepada pemain muda, sekali gus meningkatkan pembangunan sukan bola jaring di tanah air.
Klinik NSL yang dijalankan ada Sabtu menyaksikan penglibatan sekurang-kurangnya 200 pelajar sekolah menengah berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun dari seluruh negara.
BACA LAGI: Bola jaring: Peserta sulung lelaki antara 200 peserta hadir memeriahkan Klinik NSL 2025
BACA LAGI: Isu pemalsuan tandatangan: Politik dalam persatuan sukan perlu dihapuskan — Hannah Yeoh
Menariknya, Klinik NSL kali ini dimeriahkan dengan penyertaan seorang peserta lelaki tunggal yang turut tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Peserta lelaki yang bernama Abdul Rahman Aisy Muhammad Qusairy, 16, itu berkongsikan keputusannya untuk mencuba bola jaring adalah satu usaha untuk menguji pandangan umum tentang kesukaran sukan tersebut, terutamanya berkaitan dengan jantina.
Satu-satunya peserta lelaki yang mengikuti Klinik NSL 2025, Abdul Rahman Aisy Muhammad Qusairy.
Menurut Abdul Rahman Aisy atau mesra dengan panggilan Aman, dia berkongsikan bahawa sukan tidak seharusnya dikaitkan dengan jantina kerana banyak sukan lain, seperti silat dan bola sepak, turut terbuka kepada kedua-dua jantina.
"Saya memilih untuk bermain bola jaring kerana ingin menguji tanggapan ramai yang mengatakan sukan ini mudah, terutamanya lelaki yang sering menganggap bola jaring mudah, sementara perempuan pula berpendapat bola sepak lebih sukar.
"Jadi, saya memilih bola jaring untuk mengetahui apa sebenarnya yang sukar dalam sukan ini. Ini kali pertama saya bermain bola jaring secara serius, walaupun sebelum ini saya pernah bermain secara suka-suka, tanpa peraturan
"Berkaitan dengan bola sepak dan bola jaring, bagi saya, bola sepak lebih mudah kerana saya belum benar-benar merasai bola jaring mengikut peraturan yang sebenar. Bola sepak lebih mudah bagi saya.
"Walaupun begitu, saya rasa sedikit janggal kerana saya satu-satunya peserta lelaki dalam sesi latihan bola jaring ini. Namun, saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan bantuan rakan-rakan perempuan yang ada.
"Saya juga berpendapat bahawa pandangan bahawa bola jaring hanya untuk perempuan adalah salah. Sukan sepatutnya dilihat secara terbuka, seperti silat yang boleh dimainkan oleh kedua-dua jantina, atau bola sepak yang juga mempunyai liga perempuan.
"Oleh itu, tidak salah jika lelaki turut menyertai bola jaring. Kita perlu melihat sukan sebagai sesuatu yang tidak terhad kepada jantina," katanya kepada Majoriti ketika ditemui pada Klinik NSL pada Sabtu.
Aman (kiri) bersama ibunya dan adiknya turut hadir ke Sports Arena UNITEN.
Sementara itu, ibunya yang bernama Zazanini Azhar, 44, memberi sokongan penuh terhadap keputusan anak lelakinya untuk menyertai klinik sukan, meskipun program tersebut kebanyakannya dihadiri oleh pelajar perempuan.
Menurut Zazanini, pada awalnya dia menghantar anak perempuannya, Fatima Azzahra Muhammad Qusairy ke klinik tersebut dan anak lelakinya memutuskan untuk ikut serta sebagai teman.
Walaupun pada awalnya dia menyangka ada lebih ramai lelaki, ternyata anak lelakinya merupakan peserta tunggal lelaki di situ.
"Program ini terbuka kepada semua dan saya tidak kisah jika anak saya satu-satunya lelaki di sana, selagi dia tahu mengawal diri," katanya ketika ditemui Majoriti.
Menurutnya, dia juga menekankan bahawa klinik tersebut memberi peluang kepada peserta untuk belajar teknik yang bukan hanya berguna dalam sukan tertentu tetapi juga dalam sukan lain.
"Aman memang sudah aktif dalam pelbagai sukan seperti memanah dan kriket di sekolah. Dia juga merupakan wakil sekolah untuk memanah dan aktif dalam acara larian.
"Sebagai ibu bapa saya memang sokong anak-anak menceburkan diri dalam sukan, saya percaya sukan mengajar mereka mengenai komitmen, disiplin dan memberi mereka peluang untuk fokus mencapai matlamat.
"Apabila mereka fokus pada sesuatu, mereka akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut, dan itu penting untuk perkembangan mereka," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram